Karya Agung Melayu Perlu Hidup di Era Media Digital

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman dan Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 23 Oktober 2025 – Karya agung Melayu kini perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan dunia moden melalui penerbitan dalam bentuk edisi elektronik, karya interaktif dan multimedia.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan Dato’ A. Aziz Deraman berkata inisiatif ini bertujuan mempromosikan budaya melalui media sosial bagi mendekati khalayak muda bagi memastikan warisan Melayu terus relevan dan menarik perhatian generasi masa kini.

“Hasrat kami ialah supaya karya agung Melayu tidak hanya tersimpan di perpustakaan, tetapi hidup dalam genggaman dan minda masyarakat moden.

“Setiap naskhah itu bukan sekadar hasil penerbitan, tetapi manifestasi amanah ilmu dan cinta kepada bahasa Melayu.

“Sejak awal, kami percaya bahawa karya agung bukan sekadar peninggalan masa silam, tetapi cermin jati diri bangsa yang hidup dan berdenyut hingga kini,” katanya ketika Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM).

Persidangan ini merupakan anjuran Yayasan Karyawan bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Perpustakaan Negara Malaysia.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata beliau yakin persidangan ini akan menjadi platform perkongsian pintar bagi tokoh-tokoh dan ilmuwan dalam bidang kajian khazanah karya agung Melayu.

Tambahnya, persidangan ini turut memberi ruang untuk mengupas penyatuan kajian falsafah dan epistemologi dengan teknologi moden.

“Inisiatif penganjuran persidangan ini juga menjadi salah satu usaha yang tepat selaras dengan komitmen dan kebanggaan UKM terhadap kekayaan karya agung Melayu yang tidak terpisah daripada identiti dan jati diri bangsa.

“UKM berperanan penting dalam memperkasakan budaya, bahasa, dan karya persuratan Melayu yang telah lama menjadi warisan kita.

“Karya agung Melayu, seperti pantun, syair, dan hikayat bukan sekadar bacaan dan hiburan, malah memuatkan nilai moral, falsafah hidup, dan kearifan tempatan yang bernilai tinggi,” katanya.

Persidangan ini menghimpunkan seramai 200 ilmuwan tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Belanda, Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Leave a Reply