Kayuhan Jelajah Watan UKM Julung Kali diadakan, Rentas 4 Negeri

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KOTA TINGGI, 16 Oktober 2023 – Kayuhan Jelajah Watan UKM yang julung kali diadakan dengan jarak kayuhan 360 kilometer, merentas empat buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan berakhir di Johor.

Diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-53 UKM dan Sambutan Hari Sukan Negara 2023, program ini disertai oleh 47 peserta yang terdiri daripada warga UKM dan ahli keluarga serta dua kelab berbasikan dari Kedah iaitu Jitra Cycling Club dan Geng Kola Cycling Club.

Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman dalam ucapannya berkata UKM amat berbangga kerana buat julung kalinya UKM menganjurkan kayuhan sejauh ini merentasi empat buah negeri.

“Saya teruja dengan kegigihan warga UKM, alumni dan peserta kayuhan yang berjaya menamatkan kayuhan dengan selamat dan mempamerkan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata program kayuhan itu selain dapat mendekatkan UKM dengan masyarakat, ia juga bermatlamat untuk menyebarluaskan peranan UKM sebagai sebuah universiti watan yang telah berjaya menyumbang kepada pembangunan negara melalui khidmat komuniti, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.

“Program kayuhan ini juga diharap dapat mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UKM dan masyarakat kerana pada hari ini kita juga turut mengadakan program pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah dan pemeriksaan mata yang dibawa oleh Fakulti Sains Kesihatan, secara percuma kepada masyarakat di sekitar Kota Tinggi,” katanya.

Naib Canselor mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan di Kota Tinggi, terutamanya Majlis Daerah Kota Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, agensi-agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor, Melaka dan syarikat-syarikat korporat serta semua yang telah menjayakan program kayuhan tersebut.

Kayuhan bermula pada pagi 14 Oktober 2023 telah dilepaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Peserta Kayuhan Jelajah Watan telah disambut oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Mohammad Nazrul Abd Rahim, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.

Leave a Reply