Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan Beri Kesedaran Terhadap Penipuan Scam

Oleh Ahmad Mustaqim Zolkafali dan Nabila Nurnatasya Ibrahim
Foto Ahmad Kamal (RHB Bank Berhad)

BANGI, 15 Disember 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Yayasan Canselor (YC) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (PMFEP) dengan kerjasama RHB Bank Berhad telah menganjurkan program Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan: Awas, Fikir, Sekat! bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap penipuan atau scam yang dilakukan secara maya (online scam/frauds).

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata, kempen kesedaran ini sangat wajar didedahkan kepada orang ramai kerana mangsa penipuan bagi jenayah ini tidak mengira latar belakang pendidikan, taraf hidup dan lokaliti tempat tinggal.

“Di Malaysia, kes penipuan maya kian meningkat saban hari dan kes ini mula berkembang sejak tahun 2018.

“Kadar kerugian yang dialami oleh mangsa penipuan juga adalah tinggi dan merangkumi golongan terpelajar dan profesional sebagai sasaran sindiket penipuan maya ini. Justeru itu, sebagai pengguna, kita harus sentiasa bijak dalam menjaga keselamatan data yang dikongsikan agar tidak dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi video perasmian Program Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan: Awas, Fikir, Sekat!

Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Madya Dr. Amizawati Mohd Amir, objektif program ini dapat memberi pencerahan berkenaan taktik-taktik penipuan dan seterusnya mampu membawa mesej yang sama untuk memberi kesedaran kepada orang ramai  terhadap penipuan ini khususnya kepada ibu, bapa, ahli keluarga, dan sahabat handai. Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan ini merupakan kempen yang dilancarkan oleh industri perbankan dengan sokongan daripada Bank Negara (BNM) Malaysia. Ceramah kempen ini disampaikan oleh Eksekutif Bahagian Pengurusan Risiko dan Penipuan Perniagaan, RHB Bank Berhad, Norshafira Mhd Sharidan dengan kehadiran seramai 114 pelajar UKM.

Leave a Reply