Kerjasama FST dan Orogenic Resources Bakal Wujudkan Pusat Arkib Geologi

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Disember 2022 – Kerjasama yang terjalin antara Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan Orogenic Resources Sdn Bhd melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian Kerjasama bakal menubuhkan Pusat Arkib Geologi atau ‘Geological Archieve Centre’ di fakulti tersebut.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata penubuhan Pusat Arkib Geologi itu adalah salah satu projek menaiktaraf kemudahan makmal di Bangunan Geologi, FST.

“Melalui kolaborasi ini juga, pelbagai aktiviti susulan bersama pihak Orogenic Resources Sdn. Bhd. akan dilakukan dalam memeriahkan penggunaan ruang tersebut selepas proses naik taraf selesai kelak,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara UKM dengan Orogenic Resources Sdn. Bhd. di sini, baru-baru ini.

Dokumen perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah yang mewakili UKM dan Pengarah Urusan Orogenic Resources Sdn Bhd, Ahmad Tariq Ahmad Ziyad yang mewakili Orogenic Resources Sdn Bhd.

“Saya bagi pihak UKM mengucapkan terima kasih kepada pihak Orogenic Resources Sdn. Bhd., atas kesudian untuk berkunjung ke UKM dan memberi sumbangan dana tajaan bagi proses naik taraf sebahagian paras L, Bangunan Geologi.

“Saya amat berharap agar lebih banyak kerjasama bersama UKM  dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya. Hadir sama ke majlis itu ialah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad dan Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed.

Leave a Reply