Kerjasama Siti Khadijah, UKM Hasilkan Koleksi Pujangga Puri

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 22 Februari 2023 – Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd. dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan koleksi terbaharunya – Pujangga Puri.

Koleksi yang terdiri daripada kotak hadiah, rangkaian telekung dan sejadah ini membabitkan hasil penyelidikan corak hiasan Melayu tradisional yang diketuai oleh Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria.

Menurutnya, koleksi ini merupakan usaha untuk memelihara dan mengkomersialkan warisan seni dan budaya Melayu yang merangkumi corak indah yang terdapat dalam halaman manuskrip perubatan keluarga ‘Kitab Tib’ yang diterbitkan sekitar tahun 1850.

“Corak yang direka adalah hasil pemerhatian keselarasanseni khat manuskrip dengan motif corak yang diilhamkan oleh alam semula jadi.

“Kami ingin mengkomersialkannya kerana corak ini mempunyai nilai estetika tertentu yang melambangkan kesenian dan warisan Melayu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Muhammad Munzir Aminuddin berkata rekaan ini diilhamkan daripada elemen sulur hidup, bunga tanjung Melayu dan mahkota.

“Melalui kerjasama ini, Siti Khadijah komited dalam mengetengahkan koleksi corak Melayu Tradisional serta meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat untuk memelihara khazanah negara yang semakin dilupakan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan diiringi oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Ts. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Muhammad Munzir Aminuddin di IOI City Mall, semalam. Turut hadir, Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM), Prof Madya Dr Wan Mohd Hirwani Wan Hussain; Pengerusi Kumpulan Siti Khadijah, Shafie Shamsuddin; Pengasas Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman; serta Pengarah dan Pengasas bersama Siti Khadijah, Aminuddin Mohd Nasir.

Leave a Reply