BANGI, 18 Mei 2026 – Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) memperkenalkan inisiatif pengurangan peruntukan manifesto kepimpinan daripada RM3,000 kepada RM1,500 bagi setiap portfolio sebagai usaha memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan mahasiswa UKM.
Langkah tersebut membolehkan hampir RM60,000 dikumpulkan untuk disalurkan kepada beberapa inisiatif utama melibatkan bantuan kebajikan mahasiswa serta pemerkasaan pembangunan pelajar.
Antara bantuan yang diperkenalkan ialah bantuan one-off rumah sewa sebanyak RM20,000 kepada mahasiswa yang memerlukan, bantuan asas rumah sewa berjumlah RM5,000 dan Insentif Perkasa KITA Siswa bernilai RM35,000.
Insentif Perkasa KITA Siswa memberi fokus kepada sembilan domain pembangunan mahasiswa melibatkan aspek sukan, kesukarelawanan, kebajikan, kerohanian, keusahawanan, kebudayaan, inovasi, perpaduan dan kepimpinan.
Presiden KMUKM sesi 2025/2026, Muhammad Haikal Hamidi berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan sebagai respons terhadap cabaran kos sara hidup dan isu penempatan yang dihadapi mahasiswa masa kini.
“KMUKM melihat keperluan untuk memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, khususnya bagi pelajar yang berdepan kekangan kewangan dan perlu menyewa di luar kampus.
Pengurangan dana manifesto ini dibuat bagi membolehkan lebihan dana dimanfaatkan secara terus kepada mahasiswa,” katanya.
Menurut beliau, KMUKM turut menggerakkan inisiatif “Menu Kasih Siswa” bersama pengusaha kafeteria di UKM bagi menyediakan pilihan makanan pada kadar harga lebih minimum dan mesra mahasiswa.
Selain itu, KMUKM juga bekerjasama dengan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM dalam usaha membantu menjayakan projek Dapur Siswa bagi menyediakan ruang memasak yang lebih selesa kepada mahasiswa, termasuk usaha penyediaan bahan mentah asas kepada pelajar tertentu yang memerlukan.
Sementara itu, Penasihat KMUKM merangkap Timbalan Pengarah Kepimpinan Hal Ehwal Pelajar UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham menyifatkan pendekatan tersebut sebagai manifestasi kepimpinan mahasiswa yang matang, prihatin dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Pendekatan ini menunjukkan mahasiswa bukan sahaja membawa idea dan suara mahasiswa, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam membantu rakan-rakan yang memerlukan.
“Inisiatif seperti bantuan rumah sewa, Menu Kasih Siswa dan Dapur Siswa mencerminkan budaya kebersamaan dan kesejahteraan yang perlu terus diperkukuh dalam ekosistem kampus,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial dalam pembangunan masyarakat berilmu dan berdaya saing.

