Oleh Melor Suria Minhat
Foto Ikhwan Hashim
SEPANG, 30 September 2026 – Kongres Antarabangsa dan Pertandingan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (kNovasi) 2026 yang menghimpunkan warga akademik, penyelidik, pendidik, pelajar serta rakan industri dan institusi pendidikan tinggi dari dalam dan luar UKM menjadi platform mempromosikan idea, inovasi, teknologi dan pendekatan baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk dimanfaatkan di dalam dan luar bilik kuliah.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham FASc berkata penggunaan AI dalam pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara bijaksana, beretika dan bertanggungjawab.
“Bukan lagi persoalan sama ada kita mahu menggunakan AI atau tidak, tetapi bagaimana kita nak menggunakannya secara bijaksana, penuh dengan etika, penuh dengan kebertanggungjawaban dan dijadikan alat untuk meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.
Dalam ucapan, beliau turut menegaskan kepentingan nilai kemanusiaan dalam proses penilaian akademik.
“Bila kita sendiri yang membaca dan menilai tugasan atau tesis, kita ada roh dan nilai kemanusiaan. Namun, jika penilaian itu diserahkan sepenuhnya kepada AI, ia tidak akan mempunyai roh kemanusiaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pengajaran-UKM, Prof. Madya Dr. Zulkefli Mansor berkata Pengajaran-UKM turut menyediakan garis panduan penggunaan Generative AI (GenAI) dalam aktiviti PdP, selain memperkukuh ekosistem AI melalui penyediaan akses Turnitin AI, langganan 2,000 akaun Kahoot! AI serta perancangan pembangunan AI Smart Classroom dengan peruntukan awal RM1.3 juta.
Selain itu, UKM turut merupakan ahli Digital Education Council (DEC) bagi memperluas akses warga universiti kepada perkongsian, garis panduan dan amalan terbaik berkaitan pendidikan digital.
Bertemakan Pencitraan Semula Pendidikan Tinggi dalam Era Kecerdasan Buatan, kNovasi 2026 merekodkan 140 penyertaan meliputi 98 Pertandingan Inovasi, 16 pembentangan makalah dan 26 peserta walk-in, termasuk penyertaan daripada Manipal Universiti, Universiti Teknologi Petronas, Sunway University, Open University Malaysia, Newcastle University Malaysia, Asia Pacific Malaysia, Southampton University, Albukhary International University, Unisza, Tarannum Technologies, Yayasan FAQEH dan Hunan University of Technology.
Penganjuran kNovasi 2026 turut mendapat sokongan Guangxi Great Education & Technology Group Co., Ltd, Digital Education Council (Keynote), Tourism Malaysia dan Math Proofread.


