KPT Sambut Baik Hasrat UKM Sebagai Universiti Watan yang Komprehensif

Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 31 Januari 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk muncul sebagai sebuah universiti watan bersifat komprehensif.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata matlamat, visi dan misi yang jelas harus dirangka demi meletakkan UKM sebagai sebuah universiti watan di kedudukan yang lebih tinggi.

“UKM harus strategik dan proaktif dalam mengambil bahagian penting dan menjuarai pelbagai perkara dan isu yang melibatkan pemerkasaan negara bangsa dan pembentukan tamadun madani, sejajar dengan bidang tujahannya yang bersifat kebangsaan,” katanya.

Menurut beliau, UKM mempunyai peranan besar untuk memberikan pandangan berasaskan ilmu dan rasional, dan seterusnya membantu menjayakan konsep Malaysia Madani.

Kejayaan UKM itu katanya akan menyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun.

“Bagi pihak KPT, saya turut merakamkan keterbukaan kementerian untuk menerima sebarang idea dan cara baharu dalam soal mengurus dan memperkasa institusi pendidikan tinggi.

“Khususnya yang menekankan aspek perkongsian sumber, kerjasama penyelidikan dalam bidang yang menguntungkan negara serta dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kos atau bebanan kewangan pelajar di universiti.”

Katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mengadakan lawatan kerja ke UKM baru-baru ini.

Pada lawatan itu, beliau turut melancarkan buku yang bertajuk Einstein di Malaya dan perkhidmatan solar UKM. Beliau juga turut meluangkan masa bagi melihat persembahan ringkas oleh robot hasil dari penyelidikan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat bersama MOVERobotic.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak,  Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’  Dr. Husaini Omar,  serta pengurusan tertinggi UKM.

Leave a Reply