Lapan Kumpulan Penyelidikan Universiti Terima Sijil Pengiktirafan Penyelidik GGPP

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Mei 2025 – Sebanyak lapan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) menerima sijil pengiktirafan penyelidik Gegar Gamat Pemacu Perubahan kerana telah menghasilkan projek penyelidikan berinovasi dan berimpak tinggi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan kamal Mujani berkata hasil projek-projek penyelidikan itu telah diterjemahkan untuk manfaat pihak berkepentingan dan mempunyai impak yang boleh diukur.

“Matlamat pengiktirafan ini adalah untuk memperkasa penyelidikan translasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pengiktirafan yang dianugerahkan selepas sesi penilaian oleh pakar bidang dari dalam dan luar UKM adalah mengikut taraf penarafan bermula dari taraf satu sehingga taraf enam iaitu projek tersebut telah mencapai taraf pengantarabangsaan.

“Saya harap dengan pengiktirafan yang diberikan ini dapat menyerlahkan hasil penyelidikan berimpak tinggi oleh UKM yang berpotensi menjadi pemacu perubahan kepada pembangunan sosioekonomi, sains dan teknologi serta kesihatan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Penganugerahan Pengiktirafan Penyelidik Gegar Gamat Pemacu Perubahan dan Kumpulan Penyelidikan UKM, di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 24 kumpulan penyelidikan memerima sijil penubuhan Kumpulan Penyelidikan Universiti bagi fasa tiga selepas melalui sesi audit dan penilaian ketat mengikut instrumen HiCoE Kementerian Pendidikan Tinggi. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan Kumpulan Penyelidikan UKM sebanyak 120 kumpulan, dengan sasaran UKM adalah untuk menubuhkan sebanyak 120 KPU dalam proses melestarikan kluster penyelidikan universiti.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak berharap dengan terbentuknya Kumpulan Penyelidikan UKM itu, ekosistem penyelidikan UKM akan bertambah rancak dan aktif dengan pelbagai projek penyelidikan berbentuk translasi ke arah inovasi sosial.

“Impak penyelidikan yang terhasil dari KPU ini dapat disalurkan kepada pihak berkepentingan, sama ada masyarakat, industri atau kerajaan dapat dicapai supaya limpahan manfaat tidak hanya dirasai oleh warga IPT, malah turut dinikmati oleh industri dan komuniti selaras dengan konsep Malaysia MADANI,” katanya.

Leave a Reply