Mahasiswa UKM adakan Program di Malang, Beri Sumbangan dan Khidmat Komuniti

Oleh Muhammad Fareed Fauzan Yusry
Foto Yasmin Syaheera Sheik Abdul Paris

MALANG, (INDONESIA), 5 Oktober 2026 – Seramai 18 mahasiswa, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai  Misi Ukhwah Komuniti di Pondok Pesantren Mamba’ul Abyad, Malang, Indonesia melalui program International Exchange Conference 4.0 (INTEREX 4.0), bagi menyampaikan sumbangan kebajikan, mengadakan aktiviti pertanian dan khidmat masyarakat di kawasan tersebtu, baru-baru ini.

Program yang diadakan selama tujuh hari itu diadakan untuk memberi peluang kepada mahasiswa UKM memperluas pengalaman antarabangsa melalui perkongsian budaya dan ilmu serta penglibatan bersama komuniti setempat.

Ketua Pengarah INTEREX 4.0, Faris Amirul Shah berkata program berkenaan menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menghubungkan pengalaman pembelajaran dengan tanggungjawab sosial.

“INTEREX 4.0 bukan sekadar program pertukaran antarabangsa, tetapi platform untuk mahasiswa meninggalkan impak yang bermakna kepada komuniti yang disantuni.

“Kami berharap setiap sumbangan dan aktiviti yang dilaksanakan dapat memberi manfaat berpanjangan kepada warga Pondok Pesantren Mamba’ul Abyad serta menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara mahasiswa dan masyarakat merentasi sempadan negara,” katanya.

INTEREX 4.0) adalah anjuran Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (KMUKM FEP) dengan kerjasama Kelab Inovasi Budi.

Melalui program itu, UKM menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,065 kepada pihak pengurusan Pondok Pesantren Mamba’ul Abyad bagi menyokong kegiatan pendidikan dan kebajikan institusi berkenaan.

Sumbangan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha mahasiswa menyantuni masyarakat di luar negara, di samping membina hubungan dengan komuniti pendidikan yang mempunyai latar budaya dan pengalaman berbeza.

Sepanjang program itu, peserta berpeluang meninjau persekitaran Pondok Pesantren Mamba’ul Abyad bagi memahami kaedah pembelajaran, pengurusan institusi dan kehidupan harian warga pondok.

Penglibatan mahasiswa UKM dalam misi tersebut memperlihatkan bagaimana program antarabangsa dapat menjadi wadah untuk mengembangkan ilmu dan pengalaman, sambil menyumbang kepada komuniti melalui kegiatan kesukarelawanan.

Leave a Reply