BALING, 10 Ogos 2026 – Mahasiswa Kolej Burhanuddin Helmi (KBH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengaplikasikan kemahiran kepimpinan dan pengurusan acara menerusi khidmat sukarelawan dalam The Magnificent Baling 100 (TMB100) yang berlangsung baru-baru ini di Baling, Kedah.
Penglibatan mahasiswa dalam acara larian berprestij itu memberi pendedahan secara langsung kepada barisan kepimpinan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) KBH yang baharu dalam mengurus operasi acara sukan berskala besar, di samping membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan peserta, penganjur dan komuniti setempat.
Menerusi program D’GATORS Community Impact & Sports Leadership Mission (CISM) x The Magnificent Baling 100, mahasiswa KBH terlibat dalam pelbagai tugasan termasuk pengurusan pendaftaran peserta melalui imbasan kod QR, edaran race kit, pelepasan peserta bagi kategori larian lima dan 10 kilometer (km), serta pengurusan zon penamat dan pemberian pingat.
Pengetua KBH, Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda Hassan berkata penglibatan mahasiswa dalam TMB100 merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan mereka memahami selok-belok pengurusan acara sukan secara lebih dekat.
“Kerjasama strategik antara UKM dengan pihak penganjur, Ten Senses Sdn Bhd berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman industri dan menyumbang kepakaran dalam penganjuran acara pada masa akan datang,” katanya.
Selain menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan, pasukan KBH turut menjalankan kajian pasaran bagi menilai impak sosioekonomi TMB100 terhadap penduduk tempatan.
“Kajian ini merangkumi penilaian potensi Baling sebagai hab eco dan sports tourism, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu menerusi program keluarga angkat dan roomstay bagi menampung keperluan peserta TMB100 pada masa depan,” katanya.
Dalam masa yang sama, mahasiswa KBH turut mengadakan Program Semarak Komuniti KBH UKM di Kampung Charok Bemban sebagai usaha mendekati dan berbakti kepada masyarakat setempat.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pembersihan kawasan perkuburan, rewang memasak gulai rias (umbut) pisang, permainan interaktif bersama kanak-kanak serta pengagihan bantuan makanan asas dan susu dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia.
Menurut Prof. Madya ChM. Dr. Nur Hasyareeda, penglibatan mahasiswa dalam program komuniti turut membawa nilai sentimental susulan sejarah sumbangan masyarakat setempat terhadap penubuhan UKM.
“UKM dibina daripada harapan dan pengorbanan masyarakat. Ada orang yang mungkin tidak pernah masuk ke universiti, tetapi pernah menyumbang kepada kelahirannya.
“Jadi, apabila kita sudah berada di universiti ini, jangan kita lupa untuk kembali… kembali mengenali masyarakat, mendengar cerita mereka, menghargai jasa mereka dan membalas bakti.
“Kepimpinan bukan hanya tentang memimpin orang lain, tetapi tentang tahu dari mana kita datang dan mempunyai hati untuk kembali memberi,” katanya.
Inisiatif tersebut memperlihatkan pendekatan KBH dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja mempunyai kemahiran akademik, tetapi turut berupaya memimpin, berkhidmat dan memberi impak kepada masyarakat melalui pengalaman sebenar.
Menerusi penglibatan dalam TMB100 dan aktiviti khidmat komuniti, mahasiswa KBH turut menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).


