MAIWP sumbang 68 buah komputer riba kepada pelajar UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Haziq Azmi

BANGI, 12 April 2023 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi sumbangan berupa komputer riba kepada 68 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumbangan komputer riba yang bernilai RM 251,134 itu bakal diagihan kepada pelajar-pelajar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dari keluarga B40 yang terpilih.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman dalam ucapannya memaklumkan bahawa FEP telah melancarkan Platform Khidmat Budi dua tahun lepas.

Inisiatif itu katanya diwujudkan bagi menggerakkan beberapa aktiviti seperti aktiviti kesejahteraan komuniti, memperkasa pendidikan warga, MyDigital budi, hal ehwal pelajar dan keusahawanan bagi membantu golongan pelajar, orang asal, anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya.

“Dibawah teras My Digital Budi, aktiviti yang dilaksanakan adalah berbentuk digital, termasuklah bantuan komputer riba disalurkan kepada pelajar golongan B40 bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana telah menyumbang sebanyak RM 251,134.00 untuk pembelian komputer riba buat pelajar dari golongan B40 yang beralamat di Wilayah Persekutuan. Sumbangan ini diharap dapat dimanfaatkan dengan baik oleh para pelajar.”

Katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di Majlis Iftar@FEP, di sini semalam. Majlis itu turut meraikan hampir 100 pelajar FEP yang hadir berbuka puasa bersama-sama pengurusan FEP.

Program Ramadan di FEP juga adalah salah satu program dibawah Platform Khidmat Budi FEP UKM dibawah Kesejahteraan Warga. Antara aktivit yang diajalankan di FEP sepanjang bulan Ramadan ini adalah Jom Cuba Puasa, Tadarus Al-Quran, FEP Kongsi Rezeki, Iftar bersama Anak Yatim, Majlis Khatam AlQuran, dan Ramadan bersama Komuniti.

“Aktiviti-aktiviti ini diharapkan dapat meningkatkan ketaqwaan dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Usaha ini disokong baik dan diharap dapat dikekalkan setiap tahun insy-Allah,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP, Ecik Ahmad Saifuddin Hj Md Tahir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Encik Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni FEP, Dr. Muhammad Hakimi Shafiai.

Leave a Reply