Majlis Alumni FEP Bina Jaringan Kukuh

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 20 November 2023 – Majlis hi-tea alumni Fakulti Ekonomi dan Pengurusan(FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi satu platform meluaskan jaringan dan kerjasama erat dalam kalangan para alumni fakulti tersebut yang sudah bekerjaya. 

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak berkata hubungan ini dapat diterjemah dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat yang menjadi teras kepada sesebuah universiti.

Menurutnya, alumni sesebuah universiti memegang nama dan mewakili universiti sepanjang hayatnya.

“Dalam persekitaran yang amat mencabar ini, akan wujud dimensi dan keperluan baru bagi alumni untuk memberikan input positif kepada universiti dalam menaikkan lagi nama universiti yang dahulunya merupakan tempat belajar para alumni sekalian.

“Saya percaya kejayaan alumni pada hari ini adalah hasil ekosistem ilmu UKM yang telah menyediakan para alumni untuk menghadapi cabaran dalam memenuhi permintaan baru dalam bidang pekerjaan, berdaya saing dalam persekitaran yang lebih kompetitif, berjaya meraih faedah daripada teknologi baru dan akhirnya kemampuan untuk berfungsi dalam persekitaran yang semakin tidak pasti,” katanya.

Beliau berharap agar semakin banyak aktiviti yang melibatkan alumni dapat diadakan di universiti dalam usaha mengeratkan hubungan antara warga UKM dan alumni.

Profesor Dato’ Dr. Mohamad juga menyeru para alumni supaya terus berkhidmat dan berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan universiti agar ia mampu memberi hasil positif dalam usaha melahirkan pelajar yang mampu berkhidmat cemerlang kepada masyarakat dan negara.

Leave a Reply