Menelusuri Legasi Sasterawan Negara Ke-16, Mana Sikana

Oleh Dr Hasrul Hashim
Foto Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Tanggal 28 April 2026 akan terus terpahat sebagai lembaran sejarah gemilang dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Pengumuman tokoh ilmuwan dan pengarang prolifik, Allahyarham Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16 merupakan satu pengiktirafan tertinggi yang membanggakan negara, khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengiktirafan ini bukan sekadar penganugerahan gelaran, malah mencerminkan kekuatan tradisi keilmuan UKM sebagai sebuah universiti yang konsisten melahirkan tokoh pemikir dan sasterawan berwibawa.

Ia menjadi bukti bahawa UKM terus berperanan sebagai medan subur dalam pembinaan intelektual dan pengembangan wacana kesusasteraan Melayu.

Di mimbar akademik inilah beliau belajar dan menabur bakti sebagai seorang sarjana, pendidik, dan pemikir yang tidak pernah lelah menyuburkan wacana intelektual, khususnya di Jabatan Persuratan Melayu kini dikenali sebagai Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA-MELAYU).

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas pertama pada tahun 1978, Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1980 dan Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1990.

Di sinilah beliau berkembang sebagai sarjana, pendidik dan pemikir yang tekal menyumbang kepada perkembangan ilmu dan kesusasteraan tanah air.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah melahirkan ramai sarjana, pengkritik sastera dan ilmuwan yang kini meneruskan legasi keilmuan di pelbagai institusi.

Sebagai pelopor dalam Kesusasteraan Melayu Moden, Mana Sikana terkenal dengan keberanian yang membawa anjakan paradigma dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Ratusan karya beliau merangkumi cerpen, novel, drama pentas, skrip televisyen, hinggalah kepada esei kritikan sarat dengan elemen eksperimentasi naratif.

Karya-karya besar beliau seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan, dan Syajar bukan sekadar naskhah bacaan santai. Ia adalah medan di mana pendekatan intertekstual, metafiksyen, dan metasejarah diadun dengan begitu berseni. 

Beliau membawa sastera Melayu keluar daripada kepompong konvensional, menyuntik elemen falsafah pascamodenisme dan kritikan sosial tanpa sesekali meninggalkan nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosiopolitik tanah air.

Malah, sumbangan terbesar beliau turut melangkaui penulisan kreatif menerusi pengislamisasian teori sastera seperti Teori Teksdealisme yang terus dikaji dan dimanfaatkan di pelbagai universiti.

Penganugerahan ini menjadi simbol kecemerlangan UKM dalam melahirkan tokoh pembina peradaban bangsa. Ia juga menyuntik semangat baharu kepada seluruh warga universiti untuk terus meneroka, memperkasa dan memartabatkan ilmu dalam pelbagai bidang.

Penobatan ini mencerminkan kejayaan falsafah ilmu yang sekian lama berakar dalam tradisi akademik UKM.

Al-Fatihah buat Sang Sasterawan, Dr. Abdul Rahman Napiah; tintamu telah berhenti mengalir, namun gagasan pemikiranmu akan terus berdegup di dada setiap warga keilmuan kami.

Leave a Reply