Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
CHERAS, 12 Oktober 2026 – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melancarkan Roadmap Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026-2030 Sempena Bulan Kesedaran Kanser Hati, di Auditorium Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Roadmap atau hala tuju itu dilancarkan bagi memperkukuh keseluruhan pengurusan penyakit hati melalui pendekatan bersepadu atau integrated approach.
Beliau berkata melalui roadmap itu, kementerian tidak lagi akan melihat penyakit hati secara in-siloed, tetapi keseluruhan pengurusannya adalah melalui integrated approach yang merangkumi program pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.
“Roadmap ini menetapkan lima tonggak utama iaitu promosi dan pencegahan termasuk imunisasi hepatitis B, pengesanan dan rawatan hepatitis, pengurusan faktor risiko metabolik serta pengurangan kemudaratan berkaitan alkohol; saringan dan stratifikasi risiko fibrosis; survelan dan diagnosis; rawatan dan penjagaan sokongan; dan registri, pemantauan dan penilaian.
“Ia (roadmap) akan memfokuskan kepada saringan faktor risiko kanser hati serta stratifikasi risiko fibrosis sebagai pengesanan awal penyakit hati di fasiliti kesihatan primer bagi kedua-dua hepatitis dan non-hepatitis cause, iaitu penyakit hati berlemak dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi diabetes dengan obesiti, dan seterusnya dipantau melalui survelan Hepatocellular Carcinoma (HCC).
“Kementerian Kesihatan berharap melalui inisiatif ini, akses kepada perkhidmatan kesihatan hati akan lebih menyeluruh, pengesanan kanser hati dapat berlaku pada peringkat awal, rawatan awal dapat dimulakan dan seterusnya meningkatkan kelangsungan hidup pesakit.
“Matlamat kita hanyalah satu iaitu memastikan sistem penjagaan kesihatan hati yang bersepadu, dengan pengesanan lebih awal, intervensi tepat pada masanya dan outcome pesakit yang lebih baik,” ujar beliau.
Kanser hati merupakan kanser kelima paling utama di Malaysia dengan HCC atau hepatoma merangkumi secara purata 70 peratus daripada keseluruhan kes kanser hati primer.
Sebanyak 8.8 per 100,000 populasi lelaki dan 2.6 bagi setiap 100,000 wanita didiagnos dengan kanser hati pada tahun 2022 hingga 2024, dengan 86 peratus pesakit lelaki dan 83 peratus pesakit wanita didiagnos pada peringkat tiga atau empat.
Majlis Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Hati itu adalah anjuran bersama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Fakulti Perubatan UKM dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM).

