Merungkai Cerita Kedah dan Pulau Pinang

Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto Muhammad Haziq Azmi

BANGI, 13 Julai 2023 – Polemik Kedah dan Pulau Pinang semakin hangat dibincangkan dan mengundang reaksi yang berbeza dari pelbagai pihak.

Bagi mengupas isu ini menerusi lensa akademik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dengan kerjasama Canselori UKM menganjurkan Bicara Persada yang ke-64 yang bertajuk, “Dari Naratif Sejarah: Merungkai Cerita Kedah / Pulau Pinang”.

Ahli panel berpendapat bahawa, tanah Pulau Pinang adalah milik Sultan Kedah namun, dari segi naratifnya terdapat banyak kelompongan mengenai pajakan dan perjanjian antara Sultan Kedah dengan Francis Light pada 1786.

Menurut Pakar Sejarah Sosial dan Intelektual, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, Pulau Pinang lahir daripada ‘tali pusat’ Kedah atau ‘tali perut’ Kedah.

“Justeru, sejarah Pulau Pinang dan Kedah harus dirungkai dari perspektif yang bukan memberatkan pihak Inggeris. Malah, ia harus melihat kepada sejarah masyarakat pribumi yang telah lama wujud di Kedah dan Pulau Pinang.

“Pendudukan Francis light di Pulau Pinang pada tahun 1786 adalah secara haram. Pada tahun 1791, perjanjian dibuat secara paksa dan naratif yang mengatakan Sultan Kedah merampas Pulau Pinang adalah tidak betul, walhal Pulau Pinang adalah harta beliau.

“Naratif Pulau Pinang telah wujud sejak awal lagi di bawah naungan Sultan Kedah dan adalah tidak wajar untuk mengatakan sejarah Pulau Pinang bermula dengan undang-undang Inggeris yang hanya bermula selepas tahun 1807,” katanya.

Jelasnya, naratif yang sedia ada menunjukkan Sultan Kedah sebagai ‘orang jahat’ dan pihak British sebagai ‘orang baik’.

Justeru, ahli panel menekankan bahawa adalah penting untuk mendalami sejarah Kedah-Pulau Pinang dari perspektif pribumi di mana, Pulau Pinang telah diduduki oleh orang Melayu dan diperintah oleh Sultan Kedah berasaskan Adat Temenggung. Bicara ini turut menampilkan Pakar Sejarah Malaysia Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali; Pakar Arkeologi, ATMA UKM, Prof. Madya Dr. Asyaari Muhamad; dan Pengasas Jurisprudens Watan ISTAC-IIUM, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain sebagai ahli panel.

Leave a Reply