Pensyarah UKM Pamerkan Hasil Seni Lukis di Kota London

Oleh Asmahanim Amir
Foto Dr Fitri Fareez Ramli

BANGI, 19 Oktober 2023 – Pensyarah Muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Fitri Fareez Ramli sekali lagi diberikan peluang untuk mempamerkan karya lukisannya di London sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-66, Hari Malaysia ke-60 dan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 yang diadakan di National Army Museum, London.

Pada pameran itu, 13 lukisan daripada koleksi Kiriman dan Suratan telah dipamerkan. Empat lukisan iaitu Mentera, Bunga, Gerbang dan Mentari daripada Koleksi Kiriman yang dipamerkan adalah karya terbaru yang dihasilkan oleh beliau.

Menurut Dr Fitri, koleksi itu membawa maksud hantaran yang dikirim dalam pelbagai bentuk seperti restu dan doa ibu bapa, budaya dan bahasa yang diwarisi daripada nenek moyang dan juga cahaya dari ilahi.

“Tema lukisan-lukisan koleksi Kiriman ini merupakan penghargaan dan rasa syukur terhadap kehidupan yang dinikmati,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi lukisan Mentera, dia menggunakan unsur-unsur padi yang merupakan satu elemen penting dalam masyarakat Melayu.

“Padi sering kali digunakan dalam peribahasa Melayu yang mempunyai pelbagai maksud seperti peranan ketua masyarakat, hubungan persaudaraan, pembentukan sifat-sifat yang baik, dan sumber rezeki.

“Dalam lukisan ini, elemen padi digunakan untuk membentuk objek yang menyerupai semangat Pahlawan Melayu atau bahtera. Naratif yang disertakan pula membawa mesej tentang kepentingan menghargai budaya yang diwariskan dan juga kedaulatan negara,” ujar beliau.

Sementara itu, sembilan lagi lukisan adalah daripada Koleksi Suratan yang pernah dipamerkan di Royal Lancaster London dan University of Oxford pada Ogos dan September tahun ini.

Koleksi itu mengetengahkan pesanan berkaitan identiti, kesihatan mental dan perubahan iklim. 

Dr Fitri menggunakan seni lukisan bagi memperkasa budaya Melayu melalui tulisan yang sering disertakan dengan lukisan bagi memberikan perspektif beliau terhadap lukisan yang dibuat.

Selain itu, seni lukisan juga merupakan satu saluran yang beliau gunakan bagi mengetengahkan pesanan-pesanan yang berkaitan dengan kesihatan jiwa melalui perkongsian pengalaman yang dilalui.

Pameran yang dirasmikan oleh dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Dato’ Zakri Jaafar itu dihadiri oleh wakil kerajaan United Kingdom, diplomat-diplomat dari pelbagai negara, organisasi antarabangsa dan tokoh terkenal dalam komuniti Malaysia di United Kingdom.

Leave a Reply