Oleh Diong Xue En
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Kelab Tiong Hwa Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah berjaya menganjurkan Pesta Ang Pow (PAP) Ke-26 yang berlangsung dengan meriah di Dewan Tun Syed Nasir (DTSN), baru-baru ini.
Program yang menjadi tradisi tahunan sejak 25 tahun lalu, terus mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 350 orang mahasiswa dan menjadi antara program kebudayaan yang paling dinanti-nantikan di UKM Kampus Kuala Lumpur.
Bertemakan “Musim dalam Seri” dengan slogan “semangat dalam musim, suburkan seri budaya”, program ini membawa para penonton menyusuri keindahan budaya masyarakat Cina melalui empat musim utama iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk, masing-masing diiringi dengan perayaan tradisional seperti Tahun Baru Cina, Pesta Duanwu, Pesta Tanglung dan Dongzhi.
Gabungan unsur musim dan perayaan ini telah diterjemahkan secara kreatif dalam bentuk persembahan dan pameran, membolehkan para hadirin menikmati suasana budaya masyarakat Cina dalam satu malam yang penuh warna-warni.
Penganjuran PAP Ke-26 bertujuan menyebarkan kekayaan budaya Cina yang sarat dengan tradisi turun-temurun, di samping menjadi platform untuk menyatukan warga KTSN yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Program ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mengenali, memahami dan menghargai budaya Cina dengan lebih mendalam, sekali gus memupuk semangat persefahaman dan keharmonian antara kaum di institusi pengajian tinggi. Seperti kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’, pendedahan kepada kepelbagaian budaya ini diharap dapat menanam rasa hormat dan bangga terhadap warisan pelbagai kaum di negara ini.
Antara persembahan yang menyerikan program pada malam tersebut termasuklah lakonan, tarian moden, persembahan Gendang 24 Musim, tarian tradisional dan nyanyian.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengetua Kolej Henry Fok Pearl Jubilee (HFPJ), Universiti Macau, Prof. Stanley Hui Sai Chuen, bersama Pengetua KTSN, Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril dan Timbalan Pengetua KTSN, Dr. Siti Hajar Zuber.
Kejayaan Pesta Ang Pow Ke-26 sekali lagi membuktikan bahawa program sebegini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni, selaras dengan matlamat UKM sebagai institusi pendidikan yang mendukung nilai keterangkuman, kebudayaan dan perpaduan nasional.
