Program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 Terima Pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Disember 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 sebagai ‘First University to Conduct Student Recruitment with LED Truck’.

Program tersebut merupakan anjuran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) dengan kolaborasi bersama Suria Wheels oleh Suria FM.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menerima simbolik pengiktirafan tersebut daripada Perunding Rekod Kanan The Malaysia Book of Records, Puan Siti Hajar Johor.

Dengan pengiktirafan tersebut, UKM kini menjadi universiti pertama di Malaysia yang melancarkan jelajah pendidikan menggunakan trak LED yang inovatif.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UKMShape di atas pengiktirafan yang berprestij ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah universiti yang bertaraf dunia, komitmen UKM melampaui sempadan bilik kuliah, dan inisiatif ini mencerminkan hasrat UKM untuk menjadikan pendidikan mudah diakses oleh semua.

“Dunia pada hari ni bergerak pantas dan pelbagai teknologi baharu sentiasa muncul pada setiap masa, dan kita mestilah sentiasa peka dengan perubahan semasa.

“Kami di UKM juga sentiasa terbuka dalam menerima dan melaksanakan idea-idea baharu yang bernas bagi membolehkan teknologi yang ada dapat dimanfaatkan semaksima mungkin, khususnya berkaitan dengan perkembangan pendidikan,” katanya.

Program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 yang dilaksanakan ekspedisinya bermula dari 8 Ogos hingga 2 September 2023 telah menjelajah empat zon di Semenanjung Malaysia.

Jelajah bermula dengan zon timur di Kuantan dan Kuala Terengganu, zon selatan di Johor Bahru dan Melaka, zon utara di Alor Setar dan Pulau Pinang, dan yang terakhir zon tengah di UKM, Bangi.

Leave a Reply