Oleh Anis Khaleedah Adam dan Dr Nur Asmadayana Hasim
Foto Pusat Hal Ehwal Pelajar
SEPANG, 18 November 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Program Landskap Edu-Trafik bagi mewujudkan ruang pembelajaran luar bilik darjah yang selamat, interaktif, dan lestari dalam memupuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan murid Sekolah Kebangsaan KLIA.
Pengarah Projek, Anis Khaleedah Adam berkata program itu dibangunkan dengan konsep living lab pendidikan keselamatan jalan raya yang menggabungkan pembelajaran interaktif, teknologi pintar dan elemen kelestarian.
“Antara inovasi yang ditampilkan ialah lampu isyarat mini pintar yang dikawal menggunakan sistem kawalan jauh bagi mensimulasikan situasi trafik sebenar untuk latihan praktikal murid.
“Setiap papan tanda trafik turut dilengkapi kod QR yang memberikan akses terus kepada maklumat keselamatan jalan raya serta kuiz interaktif, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami,” katanya.
Selain itu, beliau berkata stesen pengecasan EV mini (Mini EV Charging Station) dibangunkan sebagai medium pendedahan awal kepada konsep mobiliti hijau dan kelestarian alam sekitar.
“Pendekatan ini menjadikan Landskap Edu-Trafik bukan sahaja sebagai kemudahan fizikal sekolah, malah sebagai platform inovatif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) luar bilik darjah bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus murid mencapai kefahaman tinggi mengenai keselamatan jalan raya,” katanya.
Pelaksanaan projek ini melibatkan siri gotong-royong fizikal membersihkan kawasan, perataan tanah, pengecat simulasi jalan raya, penanaman pokok, serta pembuatan replika stesen pengecas EV oleh 80 orang sukarelawan mahasiswa UKM bersama urus setia.
Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM, Prof. Madya Ts. Chm. Dr. Darfizzi Derawi yang merasmikan program ini berkata penglibatan universiti dalam pembangunan komuniti perlu diterjemahkan melalui usaha yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat dan memberikan manfaat berpanjangan.
“Projek Landskap Edu-Trafik ini memperlihatkan bagaimana kerjasama antara universiti dengan sekolah mampu menghasilkan ruang pendidikan yang dekat dengan kehidupan harian murid,” katanya.
Sementara itu, Pengetua Kolej Keris Mas, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham berkata projek tersebut mencerminkan peranan kolej kediaman sebagai ruang pembentukan mahasiswa yang berilmu, berempati dan bersedia menyumbang kepada komuniti masyarakat.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terima kasih kepada pihak HEP UKM kerana memberi ruang kepada bangsa keris mas untuk inisiatif ini.

