Program Profesor Pelawat FEP UKM Perkukuh Agenda “Sustainable Finance” dan Jaringan Akademik Global

Berita dan foto oleh Siti Noor Kamaliah Mat Jusoh

BANGI, 3 Jun 2026 – Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjemput sarjana kewangan bertaraf dunia, Profesor Jonathan A. Batten dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia bagi berkongsi kepakaran berkenaan kewangan, selain membuka peluang kolaborasi antarabangsa yang lebih luas dalam bidang ekonomi dan kewangan global.

Menurut Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi (PPE), Prof. Madya Dr. Hairunnizam Wahid, pemilihan Profesor Batten sebagai Profesor Pelawat FEP dibuat berdasarkan kepakaran, pengaruh akademik serta reputasi cemerlang beliau dalam dunia penerbitan ilmiah antarabangsa.

”Beliau pernah menerajui beberapa jurnal berprestij sebagai Ketua Editor selama sedekad bermula 2013 hingga 2023, antaranya Journal of International Financial Markets, Institutions and Money.

”Di bawah kepimpinan Profesor Batten, jurnal tersebut menunjukkan peningkatan ketara dari segi faktor impak dan reputasi antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jurnal rujukan utama dalam bidang kewangan global,” katanya.

Dr. Hairunnizam berkata Profesor Batten yang kini berkhidmat sebagai salah seorang Ketua Editor jurnal Finance Research Letters serta Editor jurnal Risk Management, turut aktif dalam penyelidikan berkaitan kewangan mampan (sustainable finance), Environmental, Social and Governance (ESG), mata wang kripto, blockchain, pembangunan pasaran kewangan dan pengurusan risiko.

Tambah beliau, Profesor Batten merupakan tokoh akademik terkemuka dunia dalam bidang kewangan serta tersenarai antara sarjana terbaik Australia dalam bidang Ekonomi dan Kewangan berdasarkan penarafan Research.com.

Sepanjang pelaksanaan Program Profesor Pelawat Siri 2/2026, pelbagai program berprestij dan berimpak tinggi telah dianjurkan termasuk FEP Visiting Professor Talk Series 2/2026 bertajuk “Sustainable Finance in the Digital Era: ESG, Climate Risk, and the Future of Emerging Markets”, sesi perkongsian Strategi Penulisan Geran Antarabangsa, Klinik Metodologi Penyelidikan ESG, Sesi Meja Bulat bertajuk “Navigating Cryptocurrency, Blockchain, and Financial Market Dynamics in ASEAN”, serta bengkel “Advancements in Sustainable Finance Research: Methods, Data, and Publication Strategies for Postgraduate Students and Young Academics”.

Pengisian program yang bersifat kontemporari dan futuristik itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan semasa dalam bidang kewangan, ESG, teknologi blockchain dan pasaran kewangan digital, malah turut memperkukuh kompetensi penyelidikan serta strategi penerbitan antarabangsa dalam kalangan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah.

Program itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan aktif ahli akademik warga FEP, pelajar pascasiswazah FEP serta peserta daripada universiti luar seperti Universiti Malaya.

Program Profesor Pelawat Siri 2/2026 tersebut turut memberi peluang eksklusif kepada peserta untuk mendapatkan konsultasi akademik secara langsung bersama Profesor Batten, termasuk semakan manuskrip, penambahbaikan metodologi penyelidikan serta strategi penerbitan dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi.

Leave a Reply