Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) Fakulti Sains Kesihatan menganjurkan program “Right Diet for You” bagi memperkasakan usahawan wanita dalam industri makanan sihat.
Program ini melibatkan seramai 35 peserta wanita dari sekitar Lembah Klang yang terdiri daripada usahawan yang menjalankan perniagaan dari rumah, premis perniagaan, serta individu yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan makanan.
Melalui program ini, peserta mempelajari teknik penyediaan makanan sihat dan strategi keusahawanan yang berkesan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato Dr. Wan Kamal Mujani, program ini dijalankan berdasarkan modul Memperkasakan Usahawan Makanan Sihat yang telah dibangunkan oleh penyelidik dalam bidang Dietetik dan Perkhidmatan Makanan.
“Fasa pertama program ini memfokuskan kepada pengetahuan asas dalam pemakanan sihat, kesihatan dan keusahawanan. Seterusnya, fasa kedua peserta mendapat latihan penyediaan menu sihat secara hands-on yang dibimbing oleh pakar dalam bidang dietetik, perniagaan, dan perkhidmatan makanan, UKM.
“Fasa ketiga pula adalah fasa business trial, di mana para peserta perlu menjalankan perniagaan percubaan selama dua bulan, sebagai latihan praktikal dalam mengendalikan perniagaan sebenar,” katanya.
Tambahnya, program ini amat penting dan tepat pada masanya kerana prevalens obesiti dan penyakit kronik akibat pemakanan tidak sihat terus meningkat pada kadar yang membimbangkan.
Namun, ketersediaan pilihan makanan sihat dan sedap di pasaran tempatan sangat terhad.
“Oleh itu, program ini memenuhi keperluan kritikal dengan melengkapkan usahawan makanan dengan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran untuk menawarkan menu yang lebih sihat, pada masa yang sama mengembangkan perniagaan mereka.
“Melalui program ini, UKM telah memainkan peranannya dalam menyumbang kepada Kesihatan dan ekonomi masyarakat dengan memanfaatkan kepakaran penyelidiknya.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa impak kepada komuniti tetapi juga mencerminkan komitmen UKM untuk menjadi universiti yang sentiasa relevan dengan isu di dalam negara,” katanya.
![](https://www.ukm.my/beritaukm/wp-content/uploads/2024/12/2-16-1024x683.jpg)