Pusat Teknologi Digital Sambut Ulang Tahun Ke-45

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shaiddan Saidi

BANGI, 18 Disember 2025 – Pusat Teknologi Digital, Universiti Kebangsaan Malaysia (Digital UKM) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Teknologi Maklumat menyambut ulang tahun ke-45, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh, perubahan nama itu melambangkan perluasan mandat dan peranan pusat ini dalam menerajui strategi digital universiti.

“Fokus utama Digital UKM merangkumi transformasi digital, keselamatan siber, pengurusan data pintar, pembangunan sistem bersepadu, serta pemerkasaan teknologi yang menyokong UKM sebagai universiti pintar.

“Jadi, penjenamaan baharu ini menunjukkan bahawa teknologi bukan lagi sekadar sokongan operasi, tetapi telah menjadi pemacu utama kecemerlangan akademik, pentadbiran dan penyelidikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan 45 Tahun Digital UKM dan Perasmian Pusat Data UKM di Persada Canselori, baru-baru ini .

Beliau berkata jika dahulu fokus utama adalah tertumpu kepada pengurusan maklumat dan operasi ICT, kini DigitalUKM memikul tanggungjawab lebih besar meliputi transformasi digital, keselamatan siber, pengurusan data pintar, pembangunan sistem bersepadu, serta pemerkasaan teknologi yang menyokong UKM sebagai universiti pintar atau smart universiti.

“Penjenamaan baharu ini menunjukkan bahawa teknologi bukan lagi sekadar sokongan operasi, tetapi telah menjadi pemacu utama kecemerlangan akademik, pentadbiran, dan penyelidikan,” katanya.

Mengenai Pusat Data UKM, Prof Dr Sufian berkata ia bukan sekadar pembinaan sebuah kemudahan fizikal, malah merupakan pelaburan strategik untuk masa depan universiti.

Katanya pusat data ini akan menjadi tunjang kepada pengurusan data universiti secara lebih selamat dan tersusun, keupayaan pemprosesan yang lebih cekap, sandaran sistem yang lebih mantap, penyediaan platform bagi pembangunan aplikasi generasi baharu dan sokongan kepada penyelidikan berskala besar- termasuk analitik data, pembelajaran mesin, dan kecerdasan buatan (AI).

“Dalam era di mana data dianggap sebagai ‘emas baharu’, kewujudan pusat data ini menandakan kesungguhan UKM untuk memperkukuh kedudukannya sebagai Universiti yang mengutamakan keselamatan dan kebolehpercayaan digital.

“Saya berharap DigitalUKM terus memainkan peranan sebagai peneraju utama dalam memastikan UKM melangkah lebih jauh dalam bidang transformasi digital,” tambahnya.

Leave a Reply