Oleh Dr. Maggie Ooi Chel Gee dan Nur Izzati Zaini
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Saintis dan pakar alam sekitar terkemuka dari China, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Malaysia berkumpul di Kuala Lumpur bagi berkongsi pandangan tentang ketahanan iklim bandar.
Para saintis ini berkumpul di program “1st Public Forum on Concurrent Heatwaves and Ozone Pollution in Megacities of East and Southeast Asia” yang dianjurkan oleh Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui geran Asia-Pacific Network for Global Change Research (APN-GCR),
Ketua Pusat Sistem Perubahan Iklim Tropika IPI UKM, Prof. Madya Dr. Liew Ju Neng berkata forum yang diadakan itu adalah bagi membincangkan isu serentak gelombang haba dan pencemaran ozon yang mengancam bandar-bandar yang pesat membangun di Asia.
”Pemahaman trend masa lalu dan menilai strategi pengurangan risiko semasa bukan sekadar satu latihan akademik, tetapi ia adalah satu keperluan untuk kelangsungan hidup dan kemampanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Geran APN (CRRP2025-07MY-Huang) dari Universiti Shanghai, Dr. Ling Huang yang membentangkan projek beliau berkata kajian yang dilakukan oleh pasukannya dapat melihat kepada keupayaan perkhidmatan kesihatan awam dan perancangan bandar untuk menangani cabaran dwi-ancaman peningkatan suhu panas dan pencemaran udara bakal mencorakkan masa depan kota kita, tanah air kita.
Selain itu, bersama forum ini juga turut diadakan bengkel latihan teknikal yang intensif dikendalikan oleh pakar data dari Universiti Shanghai. Para peserta telah diberikan latihan praktikal pengendalian data iklim bertajuk “ERA5 Bias Correction and Trend Analysis”.
Menangani perubahan iklim memerlukan penyelesaian tempatan yang bijak, dan acara ini membuktikan kepimpinan UKM dalam penyelidikan antarabangsa.
IPI juga akan mengadakan kerjasama seterusnya dalam memantau pencemaran dan cuaca ekstrem di seluruh Asia.
