Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 22 Jun 2025 – Seminar dan Perkongsian Pakar IT (SEKOPI) kali ke-4 yang diadakan baru-baru ini menjadi ruang pakar teknologi maklumat bertukar pandangan, meneroka inovasi dan mencetuskan inisiatif yang boleh memberi impak sebenar kepada organisasi dan masyarakat.
Bertemakan “AI Mendakap Era Digital”, ia amat bertepatan dengan keperluan dan aspirasi semasa negara untuk bergerak ke hadapan dalam dunia digital yang kompetitif.
Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Otman berkata dalam mendakap era digital ini, kecerdasan buatan (AI) adalah tonggak penting yang harus dimanfaatkan secara strategik dan beretika.
“Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga perlu menjadi peneraju, penyumbang dan pengurus teknologi itu sendiri.
“AI sedang mentakrifkan semula bukan sahaja cara kita bekerja, tetapi juga cara kita belajar, mengajar, dan menilai. Di bilik darjah, bilik kuliah, makmal mahupun pusat pembelajaran, AI semakin meresap ke dalam ekosistem pendidikan kita,” kataya semasa menyampaikan ucapan.
Beliau berkata AI mampu memperibadikan pembelajaran, menyesuaikan kandungan mengikut tahap penguasaan pelajar secara masa nyata.
“Teknologi ini juga dapat membantu para pensyarah dan guru dalam tugasan rutin seperti menanda kuiz automatik, menganalisis prestasi pelajar, serta menyediakan maklum balas yang lebih cepat dan terperinci.
“Namun, kita harus akui bahawa pengintegrasian AI dalam pendidikan memerlukan lebih daripada sekadar infrastruktur.
“Ia menuntut pemikiran semula kurikulum, latihan semula tenaga pengajar, serta pendekatan yang inklusif dan beretika. Kita perlu memastikan bahawa AI tidak menggantikan peranan pendidik, tetapi memperkukuhnya,” katanya.
Tambah beliau, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai universiti penyelidikan dan pusat kecemerlangan ilmu mempunyai peranan penting dalam memastikan bahawa AI dimanfaatkan untuk kemajuan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.
“Dengan keupayaan AI dalam pemprosesan data besar, pembelajaran mesin (machine learning), pemodelan ramalan, serta analitik masa nyata, para penyelidik kini dapat menghasilkan dapatan yang lebih pantas, lebih tepat, dan lebih mendalam.
Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil berharap seminar itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kerjasama rentas jabatan, fakulti, agensi dan industri dalam membangunkan penyelidikan berteraskan AI yang berimpak tinggi.
“Seminar ini akan membuka ruang kepada wacana yang bermanfaat, di samping menjadi landasan kolaborasi antara akademia, industri dan kerajaan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Tuan Fabian Bigar yang menyampaikan Ucaptama Perdana dan merasmikan seminar tersebut.
