Sumbangan MAIWP ringankan beban 500 mahasiswa UKM sambut Aidilfitri

Oleh Nurnabila Huda Subandry
Foto Izwan Azman

CHERAS, 5 April 2023 – Seramai 500 pelajar Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UKMKKL) menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi meringankan beban pelajar dalam membuat persiapan hari raya yang bakal tiba.

Sumbangan berjumlah RM110,000 yang diberikan itu adalah merangkumi RM120 bagi tambang bas dan RM100 bagi wang perbelanjaan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata sumbangan kepada mahasiswa tersebut adalah bersempena dengan program “INSANI: Rahmah Ramadan dan Syawal Balik Kampung” yang digerakkan oleh MAIWP.

“UKM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada MAIWP yang telah memilih UKM bagi menyampaikan sumbangan kepada mahasiswa.

“MAIWP juga hampir saban tahun tidak pernah ketinggalan untuk menyampaikan sumbangan kepada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) khususnya kepada pesakit HCTM.

“Antaranya, sumbangan kewangan sebanyak RM200,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Canselor Tuanku Muhriz, dan pada tahun 2022 yang lalu, sumbangan ini telah ditingkatkan kepada RM300,000,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sumbangan MAIWP kepada Mahasiswa UKM Kampus Kuala Lumpur, Serahan Ruang Solat Dewan Bedah HCTM dan Sumbangan Bubur Lambuk Surau Ibnu Sina HCTM di sini, semalam.

Beliau berkata sumbangan yang diterima itu telah dapat membantu meringankan beban pesakit Islam asnaf dalam menampung kos rawatan dan perubatan di HCTM.

“Harapan saya agar lebih banyak organisasi dan institusi di luar sana dapat mengikuti jejak langkah MAIWP dalam membantu pesakit yang kurang berkemampuan sama ada dalam bentuk kewangan bagi menampung kos rawatan mahupun sumbangan peralatan sokongan perubatan,” katanya.

Tambahnya lagi, sumbangan yang dilakukan oleh MAIWP ini telah banyak membantu setiap pesakit untuk meringankan beban mereka.

Sumbangan kewangan itu diserahkan oleh wakil Pengerusi MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi Yahya kepada Naib Canselor UKM.

Program itu juga berlangsung dengan menyaksikan simbolik penyerahan Ruang Solat Dewan Bedah HCTM, Surau Ibnu Sina yang telah berjaya dinaiktaraf dengan kutipan tabung infak sebanyak RM26,382 oleh Pusat Islam UKMKKL bagi memberikan keselesaan yang lebih baik kepada kakitangan HCTM. Selain itu, melalui inisiatif Surau Ibnu Sina HCTM, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk turut diedarkan kepada staf dan pelawat HCTM. Sumbangan bubur lambuk itu adalah merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang bagi menyemarakkan Program Ihya’ Ramadan.

Leave a Reply