Syeikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BERTAM, 20 Ogos 2023 – Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI), dan Masjid Abdullah Fahim Bertam menganjurkan Majlis Syarahan Syeikh Abdullah Fahim bagi memperingati ketokohan beliau seorang ahli falak yang mencadangkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Beliau berperanan dalam membentuk identiti dan kesedaran kemerdekaan negara Malaysia yang dirujuk oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata Syeikh Abdullah Fahim telah membuka jalan dalam memahami pergerakan bulan dan bintang di langit serta fenomena alam.

“Kepakaran beliau dalam ilmu falak tidak hanya memberikan pandangan yang lebih jelas terhadap aspek-aspek astronomi, malah turut memberikan wawasan mendalam tentang pengiraan waktu dan penentuan kalendar Islam.

“Beliau telah mempraktikkan ilmu falak ini dalam konteks keseharian umat Islam dan membantu dalam menentukan waktu solat serta ibadah-ibadah khusus,” katanya.

Tambahnya, UKM telah menubuhkan Kursi Kecemerlangan Sheikh Abdullah Fahim yang selari dengan gagasan Islam Hadhari yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia semasa tampuk kepimpinan cucu beliau, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Kursi Kecemerlangan Sheikh Abdullah Fahim ini telah berjaya mewujudkan ruang bagi para sarjana dan penyelidik untuk meneruskan kecemerlangan dalam penyelidikan berteraskan Peradaban Islam, jelasnya.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak. Majlis yang sama turut menyaksikan pelancaran dua buah buku iaitu, Sheikh Abdullah Fahim: Warisan Keilmuan, Astronomi dan Politik, serta Qawamuddin: Pada Menerangkan Pendirian Agama.

Leave a Reply