Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
Faktor tingkah laku pekerja dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan di tempat kerja, khususnya dalam sektor pembinaan.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Kebangsaan Malaysia (ROSH-UKM), Prof. Dr. Kadir Arifin, tingkah laku pekerja merangkumi aspek pengetahuan, motivasi, keterlibatan dan kepatuhan terhadap peraturan serta prosedur keselamatan di tempat kerja.
“Kecuaian dan kesilapan pekerja sering berpunca daripada tindakan tidak mematuhi peraturan, melanggar arahan, sikap sambil lewa, kekurangan pengetahuan serta sikap tidak ambil peduli terhadap keselamatan di tempat kerja.
“Setiap individu mempunyai karakter berbeza, ada yang patuh kepada peraturan, ada yang tegas, dan ada juga yang suka melawan arahan.
“Pendekatan dalam menangani tingkah laku manusia di tempat kerja, serta pelaksanaan kempen dan latihan yang bersesuaian dengan subsektor pembinaan, mampu memberikan impak positif terhadap keselamatan.
“Bekerja di tempat tinggi adalah antara sektor paling berbahaya. Oleh itu, latihan khusus, kempen kesedaran dan pengawasan berterusan sangat penting bagi memastikan setiap pekerja patuh kepada prosedur keselamatan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sikap dan tingkah laku pekerja boleh dibentuk melalui pelbagai kaedah yang dirancang serta diurus dengan baik oleh pihak pengurusan.
Berdasarkan statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sektor pembinaan mencatatkan sebanyak 650 kemalangan maut pekerjaan bagi setiap 100,000 pekerja dalam tempoh 2017 hingga 2021.
Menurut Prof. Dr. Kadir, kadar kematian dalam sektor pembinaan adalah jauh lebih tinggi berbanding sektor-sektor lain.
Beliau baru-baru ini menyampaikan Syarahan Profesor Perdana yang bertajuk Sifar Kemalangan di Tempat Kerja: Realiti atau Fantasi.
Prof. Dr. Kadir turut menjelaskan bahawa pendekatan buddy system atau sistem rakan sekerja terbukti berkesan dalam membentuk budaya saling menegur dan mengingatkan antara satu sama lain bagi memastikan amalan kerja yang selamat.
“Dalam sistem ini, seorang pekerja akan berpasangan dengan rakan sekerja lain untuk saling memantau dan mengingatkan tentang tindakan keselamatan.
“Pendekatan ini lebih berkesan kerana ia bersifat micromanaging, iaitu tindakan keselamatan dikawal dari peringkat bawah, bukan hanya dari pihak atasan.
“Melalui sistem ini, rakan sekerja dapat menegur secara langsung sekiranya terdapat tindakan tidak selamat, malah amalan selamat juga direkod dan diberikan penghargaan,” katanya.
Tambahnya, antara punca kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja ialah tekanan untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang singkat.
“Dalam mana-mana projek, biasanya terdapat pasukan projek, pengurus projek serta jabatan keselamatan yang bertanggungjawab memastikan kerja disiapkan mengikut jadual dan dalam masa yang sama mematuhi aspek keselamatan.
“Tekanan masa dan kegagalan pihak pengurusan projek memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Namun, jika kedua-dua pihak iaitu pasukan projek dan pasukan keselamatan mempunyai matlamat yang sama iaitu menyiapkan projek tepat pada masanya sambil menjaga kebajikan pekerja, maka kerjasama itu mampu memastikan projek siap dengan selamat dan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Jelas beliau, visi sifar kemalangan di tempat kerja merupakan satu cabaran besar, namun matlamat ini mampu direalisasikan melalui komitmen dan kerjasama pelbagai pihak.
“Visi ini bukan sekadar menekankan matlamat akhir untuk mencapai sifar kemalangan, sebaliknya, lebih berfokus kepada kaedah dan proses kerja yang selamat bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan tanpa risiko kemalangan, khususnya dalam industri pengilangan dan pembinaan,” jelasnya.

