UKM, Affin Bank Jalin Kerjasama Lancar Kad Kredit, Debit Alumni

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 16 November 2022– Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama Affin Bank Berhad melancarkan Kad Kredit/ Debit Alumni UKM AFFIN untuk kegunaan alumni serta alumni bersekutu.

Melalui Kad ini, alumni serta alumni bersekutu dapat menikmati banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh UKM dan Affin Bank.

Majlis Pelancaran Kad Kredit/ Debit Alumni UKM AFFIN disempurnakan oleh Pengerusi Affin Bank Berhad, Dato’ Agil Natt dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd. Suzeren Md. Jamil.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd. Suzeren, alumni merupakan aset penting kepada universiti dan penyumbang utama kepada kecemerlangan universiti.

“Sempena majlis konvokesyen UKM ke-50 akan datang, kad ini dibuat khusus untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada alumni. Ia diperkenalkan untuk menonjolkan identiti alumni UKM dan mewakili jalinan sepanjang hayat alumni bersama alma mater mereka.

“Melalui kad ini, alumni UKM layak menerima pelbagai faedah yang ditawarkan oleh Affin Bank dan universiti. Antaranya ialah pengurangan yuran pendaftaran, penggunaan kemudahan sukan, keahlian perpustakaan, penggunaan makmal penyelidikan, dan banyak lagi,” katanya.

“Disamping berbelanja secara berhemah, alumni dapat menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan universiti melalui perbelanjaan dari kad ini,” katanya.

Beliau berharap dengan pelbagai keistimewaan yang diwujudkan untuk alumni UKM ini dapat merapatkan lagi jaringan ukhuwah antara universiti dan alumni.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata AFFIN BANK berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UKM.

“Kami yakin perkongsian ini akan membawa nilai segera kepada pemegang kad. Mereka boleh mendapat manfaat daripada keistimewaan yang ditawarkan oleh kad kredit dan debit ini, serta produk lain dan penyelesaian kewangan kami yang akan disediakan pada kadar yang kompetitif. “Kerjasama sedemikian adalah bukti komitmen Affin Bank untuk menjangkau segmen pelanggan yang lebih luas, dengan harapan ia dapat menjadikan pengalaman perbankan menjadi lebih mudah diakses. Ini adalah selaras dengan komitmen bank ke arah menyediakan perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan,” katanya.

Leave a Reply