UKM Anjur Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu 2022

Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Izwan Azman

BANGI, 28 September 2022 – Buat julung kalinya, tahun ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu 2022 yang diadakan bagi berkongsi ilmu bidang bahasa dan tamadun alam Melayu kepada masyarakat, khususnya generasi muda bersama tokoh-tokoh ilmuan.

Kongres ini adalah platform perkongsian pintar antara tokoh-tokoh ilmuan bahasa dengan masyarakat, mengupas dan mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama kepada pembentukan semangat kenegaraan Malaysia dalam seluruh aspek kehidupan.

”Kongres ini diadakan pada waktu yang tepat lantaran isu bahasa, tamadun dan kebudayaan Melayu ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya dalam kalangan ahli politik, pembuat dasar kerajaan, sarjana, sejarawan, budayawan dan seluruh lapisan masyarakat.

“Kongres kali ini adalah antara prakarsa atau inisiatif langsung yang dilaksanakan oleh UKM bagi menggerakkan agenda pemerkasaan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa,” kata Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman semasa menyampaikan ucapada pada Majlis Perasmian Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu 2022 , di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata agenda pemerkasaan dan pengantarabangsaan Bahasa Melayu menjadi teras dan tonggak utama dalam pentadbiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Komitmen ini jelas dizahirkan apabila YAB Perdana Menteri menyampaikan ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat pada 23 September 2022 dalam Bahasa Melayu.

“Ini menunjukkan bahawa pentadbiran YAB Perdana Menteri bukan sekadar retorik dengan menyatakan pendirian dan sokongan beliau terhadap aspirasi Bahasa Melayu,” katanya. Kongres yang diadakan selama dua hari bermula 28 September 2022 dengan tema ‘Memperkasa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu’ menghimpunkan seramai 60 peserta dari negara Thailand, Indonesia, Jerman dan Malaysia.

Leave a Reply