UKM Bantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bangunkan Projek Bandar Tenaga Pintar Bertam

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

SEBERANG JAYA, 26 Februari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), dan UKM Pakarunding dengan kerjasama Jinko Solar Technology Sdn Bhd membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan projek Bandar Tenaga Pintar Bertam di empat buat bangunan di daerah Bertam.

Projek tersebut telah berjaya membangunkan satu model 3 dimensi Digital Twin keseluruhan Bandar Bertam dan juga pemasangan Sistem Solar PV di Masjid Abdullah Fahim, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Pejabat JKR Seberang Perai Utara dan Hospital Kepala Batas.

Projek Tenaga Pintar Bertam yang merupakan konsep Smart City menggunakan teknologi IR4.0, pada mulanya hanyalah idea konseptual sahaja, tetapi pada hari ini telah menjadi realiti kerana internet of things (IoT) mula diaplikasikan dalam infrastruktur bandar.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata Bandar Bertam yang telah ditransformasikan menjadi salah satu konsep ‘Smart Energy City’ merupakan satu kerjayaan yang hebat dan sejajar dengan perkembangan era IR4.0.

Selain itu, katanya projek tersebut adalah selaras dengan Visi Penang 2030 yang tertumpu pada aspek negeri hijau dan pintar selain keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.

“Perluasan akses kepada tenaga solar diharap berupaya menyumbang kepada usaha pemerkasaan sosioekonomi komuniti luar bandar,” katanya pada Majlis Perasmian Bandar Tenaga Pintar Bertam – Penyerahan Solar PV Sistem Kepada Pemilik Bangunan & Persembahan 3D Digital Twin Bandar Pintar Bertam, di sini, hari ini.

Beliau berkata projek itu adalah bukti bagi Negeri Pulau Pinang yang berjaya dalam menyumbang kepada usaha Dasar Tenaga Negara yang menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin dalam pembangunan sosioekonomi.

Di samping itu, perkongsian projek ini dapat memberi impak dalam penambahbaikan berterusan kualiti alam sekitar bagi pembangunan yang lebih bersih dan mampan menggunakan teknologi lestari yang seterusnya dapat menyokong hala tuju negara dalam menuju Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040, katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata selain bertujuan untuk menjimatkan tenaga bangunan, projek itu turut menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan, para pemaju dan pemilik bangunan untuk menggabungkan ciri-ciri teknologi hijau dengan strategi kecekapan dan pemuliharaan tenaga.

“Transformasi ini merangkumi pendekatan holistik dengan mengintegarasikan pemuliharaan tenaga, kecekapan tenaga di samping sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar,” katanya.

Beliau berkata Projek Tenaga Pintar adalah bukti bagi UKM dalam menyumbang kepada usaha ‘Low Carbon Cities Framework’ dan Dasar Alam Sekitar Negara dari segi pengurangan karbon dan pemantauan alam sekitar serta penambahbaikan berterusan kualiti alam sekitar bagi pembangunan yang lebih bersih dan mampan menggunakan teknologi lestari.

“Dengan itu, perkongsian ini bukan sahaja memenuhi misi UKM sebagai sebuah universiti yang menyumbang kepada masyarakat dengan menyampaikan pengetahuan saintifik, tetapi juga sebagai anggota komuniti yang mempunyai komitmen untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Ketua Projek, Ar. Dr. Lim Chin Haw yang merupakan Felo Kanan dan pakar dalam bidang ‘Digital Twin Technology’ dan ‘Building Integrated PV System’ berkata hasil simulasi menunjukkan bahawa ‘baseline’ penggunaan tenaga keseluruhan Bandar Bertam adalah sebanyak 928 GWh setahun dan pelepasan karbon sebanyak 479,123 ton CO2 (karbon dioksida).

“Setelah menjalani simulasi optimisasi pengurangan tenaga, Bandar Bertam berpotensi untuk menggurangkan tenaga dan pelepasan karbon sebanyak 69.7%. Jumlah saiz Sistem Solar PV yang telah dipasang adalah 41 kWp dan berkemampuan untuk menjana tenaga suria sebanyak 57,400 kWh setahun dan pengurangan Pelepasan Karbon sebanyak 835 ton CO2 setahun,” katanya.

Selain bertujuan untuk penjimatan tenaga, keranya, projek itu turut menggalakkan para pemaju dan pemilik bangunan untuk menggabungkan ciri-ciri teknologi hijau dengan strategi kecekapan dan pemuliharaan tenaga. “Transformasi ini merangkumi pendekatan holistik dengan mengintegarasikan pemuliharaan tenaga, kecekapan tenaga di samping sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga solar,” katanya.

Leave a Reply