UKM Capai 110 Peratus Penjanaan Tahun 2022

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencapai 110 peratus pencapaian penjanaan pada tahun 2022 bersamaan RM534 juta sekaligus melebihi sasaran pada tahun tersebut iaitu RM484 juta.

Pencapaian ini diumumkan oleh Naib canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman di Bengkel Pembentangan Strategi Penjanaan Pendapatan Fakulti/Institut/Pusat/Kolej/Hospital UKM Tahun 2023, anjuran JANA@UKM.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mac ini membincangkan secara terperinci bagaimana agenda penjanaan pendapatan di peringkat universiti dapat direalisasikan.

Menurutnya, universiti perlu menggerakkan inisiatif penjanaan pendapatan bagi melestarikan kewangan universiti agar universiti boleh berkembang maju dengan sumber kewangan yang kukuh dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar.

“Kelestarian penjanaan atau pendanaan pendapatan merupakan salah satu agenda utama universiti yang perlu dicapai dan dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua pihak dalam universiti di pelbagai peringkat.

“Pelbagai strategi dan aktiviti dirancang serta dilaksanakan untuk memastikan kemampanan penjanaan dan keuntungan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.

“Selain daripada yuran pengajian dan peruntukan kerajaan, penjanaan pendapatan adalah melalui program pendidikan (selain yuran pengajian), geran penyelidikan, perniagaan universiti, rundingan, penyewaan aset, endowmen, kursi, wakaf dan meningkatkan jumlah penjimatan,” katanya.

Tambahnya, universiti mempunyai pelbagai sumber penjanaan pendapatan dilaksanakan untuk meningkatkan pelaburan yang menguntungkan.

“Skop penjanaan di universiti tidak terhad kepada penjimatan, aktiviti penyelidikan, perundingan, pengurusan prasarana, penawaran program akademik dan penganjuran program yang bersifat latihan semata-mata. “Antara aktiviti penjanaan pendapatan yang dikenalpasti di universiti termasuk penawaran program akademik dan penganjuran seminar serta kursus; pengewangan aset; perkhidmatan kepakaran; penyewaan ruang, kemudahan, peralatan dan tanah; pelaburan; penjualan produk dan pengkomersialan produk penyelidikan; pengembangan perniagaan; penyediaan perkhidmatan (pelbagai); filantropi dan kedermawanan; dana wakaf; dan tajaan/biasiswa,” katanya.

Leave a Reply