UKM dan Koperasi Komuniti Kilim Langkawi Meterai MoU Perkasa Edu-Pelancongan di LIMA’25

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

LANGKAWI, 20 Mei 2025 – Satu pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad telah berlangsung di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25)

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, MoU ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan berasaskan ilmu (edu-tourism), latihan dan pembangunan kapasiti komuniti, inovasi produk pelancongan, serta amalan terbaik pemuliharaan alam sekitar.

“Kerjasama ini dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan kapasiti tempatan, disamping menggalakkan pemerkasaan komuniti melalui ilmu dan sains,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan yang prihatin terhadap pembangunan lestari.

“UKM mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak industri, badan bukan kerajaan, komuniti setempat dan institusi penyelidikan lain untuk bersama-sama berganding bahu dalam memperkukuh agenda pembangunan lestari negara,” katanya.

Pertukaran MoU ini disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Mohamad Azhan Md. Amir.

Menurut Datuk Ts. Mustapha Sakmud, perjanjian yang dimeterai ini mengukuhkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat pengajian tinggi, tetapi juga sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara, khususnya dalam sektor pertahanan, maritim dan aeroangkasa.

“Kita sedang melangkah ke era baharu di mana ilmu pengetahuan perlu diterjemahkan kepada aplikasi, dan kecemerlangan akademik mesti membawa kepada penyelesaian dunia sebenar.

“Perjanjian yang dimeterai hari ini, sama ada Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyelidikan, Perjanjian Persefahaman (MoA) bagi pemindahan teknologi, atau Surat Hasrat (LoI) untuk program latihan, membuktikan komitmen bersama kita untuk bergerak maju secara kolektif,” katanya.

Leave a Reply