Oleh Melor Suria Minhat
Foto Izwan Azman
BANGI, 18 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Unbound Sdn. Bhd. bagi memperkukuh hubungan strategik universiti–industri, sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan ilmu, bakat dan inovasi digital.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang gamifikasi, Kecerdasan Buatan (AI), Realiti Terimbuh (AR) serta inisiatif inovasi digital berimpak tinggi, selaras dengan usaha UKM melahirkan graduan future-ready dan memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti–industri.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ismanizan Ismail, berkata kerjasama universiti dan industri bukan sekadar perkongsian kepakaran, tetapi merupakan usaha bersama dalam membangunkan bakat, inovasi serta solusi masa hadapan, selaras dengan peranan universiti dalam menyokong pembangunan negara.
“Kita (UKM) berbangga kerana dipilih sebagai rakan universiti pertama dalam kolaborasi PRIDE Game, yang mengintegrasikan elemen gamifikasi dengan pengangkutan awam bagi meningkatkan aspek keselamatan dan mobiliti pelajar.
“Tahniah kepada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) atas inisiatif proaktif menerajui jalinan kerjasama strategik bersama rakan industri,” katanya semasa menyampaikan ucapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Unbound Sdn. Bhd. atas komitmen menjalin kerjasama bersama UKM, serta menyifatkan penglibatan MDEC dan PRIDE sebagai sokongan penting terhadap pembangunan ekosistem digital negara.
Pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen bersama UKM dan Unbound Sdn. Bhd. dalam memperkukuh hubungan strategik universiti–industri serta menyokong agenda pembangunan ilmu dan inovasi digital negara.
Dokumen MoU ditandatangani oleh Prof. Dr. Ismanizan Ismail, yang mewakili UKM manakala Unbound Sdn. Bhd. Diwakili oleh Pengarahnya, Ryan Kang Jee Hong.

