JAKARTA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan UKM ESG Advisory, sebuah perkhidmatan ESG (Environmental, Social and Governance) membantu organisasi di ASEAN memenuhi keperluan pelaporan kelestarian yang semakin kompleks selaras dengan piawaian dan rangka kerja ESG di peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurut Naib Canselor, Prof Dato Dr Sufian Jusoh, UKM ESG Advisory menggabungkan empat komponen utama dalam satu ekosistem yang saling melengkapi, iaitu latihan dan pensijilan ESG, platform pelaporan ESG berasaskan kecerdasan buatan (AI), perundingan ESG serta audit dan pengesahan ESG.
“Komponen latihan dan pensijilan ESG memberi tumpuan kepada penyediaan program pembangunan kapasiti untuk melengkapkan profesional dan organisasi dengan pengetahuan serta kemahiran ESG yang relevan dan diiktiraf.
“Bagi memudahkan proses pelaporan, UKM turut membangunkan Platform Pelaporan ESG Berasaskan AI yang membantu organisasi mengumpul data, memetakan metrik dan menjana laporan ESG dengan lebih cekap.
“Platform tersebut menyokong 11 rangka kerja dan standard ESG antarabangsa serta serantau termasuk Taksonomi ASEAN, Global Reporting Initiative (GRI) dan International Sustainability Standards Board (ISSB).
“Platform itu juga dilengkapi dengan kalkulator karbon ASEAN yang merangkumi faktor pelepasan karbon khusus bagi kesemua 11 negara ASEAN bagi membantu organisasi mengukur dan melaporkan pelepasan karbon dengan lebih tepat,” katanya.
Tambahnya, UKM ESG Advisory menyediakan khidmat perundingan bagi membantu organisasi merancang dan melaksanakan pelan kelestarian yang berkesan.
“Perkhidmatan audit dan pengesahan ESG, yang memastikan kesahihan dan integriti data serta pelaporan ESG sesebuah organisasi melalui proses semakan yang sistematik dan berasaskan bukti,” katanya.
Melalui pelancaran ini, Prof Dr Sufian berharap agar universiti dapat membantu lebih banyak organisasi di ASEAN dengan menyumbang secara langsung kepada pembangunan lestari negara dan rantau ASEAN.
Beliau turut mengajak syarikat, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa untuk bekerjasama dalam memacu usaha kelestarian ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
