UKM Global Talk Series 2026 Himpun Pakar Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – UKM Global Talk Series 2026 yang berlangsung enam bulan bermula April 2026 telah menghimpunkan pakar dan penyelidik perubatan antarabangsa bagi berkongsi kepakaran ilmu perubatan masing-masing.

Program anjuran Sekretariat Penyelidikan dan Inovasi (SPI), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu melibatkan pakar penyelidik perubatan daripada beberapa institusi akademik dan industri terkemuka di United Kingdom dan Perancis.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Syahrul Sazliyana Shaharir, selaku penasihat projek berkata program itu memberi inspirasi dan memperkasa warga fakulti melalui pendedahan global, pengetahuan terkini dan perspektif berwawasan daripada pakar-pakar antarabangsa yang terkemuka.

“Semoga aspirasi yang dikongsikan ini dapat mencetuskan peluang-peluang baharu, menginspirasikan idea-idea transformatif dan memacu kita ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi dan memberikan impak global dalam penyelidikan dan inovasi perubatan,” katanya.

Siri ketujuh, yang merupakan sesi terakhir membincangkan potensi pramipexole sebagai rawatan alternatif bagi pesakit kemurungan yang tidak menunjukkan respons mencukupi terhadap ubat antikemurungan standard. Sesi yang mendapat kerjasama Majlis Neurosains Asas (Basic Neuroscience Council), Persatuan Neurosains Malaysia ini dikendalikan oleh Prof Philip J Cowen dari University of Oxford.

Sepanjang tujuh siri program itu, antara pakar dan penyelidik perubatan yang memberi perkongsian adalah Prof Sean M Davidson dari University College London, Dr Zakariye Ashkir dari University of Oxford, Dr Luca Villa dari Qynapse dari Perancis, Profesor Richard Bayliss dari University of Leeds dan Dr Adam Walters dari King’s College London.

Sementara itu, pengarah projek, Dr Fitri Fareez Ramli dari Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan berkata pemilihan pakar perubatan antarabangsa dari universiti-universiti terkemuka dunia adalah untuk berkongsi tentang perkembangan penyelidikan antarabangsa kepada saintis, pakar dan pelajar di Malaysia.

“Program ini menyediakan platform perbincangan secara langsung dengan penceramah-penceramah antarabangsa dan ia diharap dapat memberikan inspirasi kepada peserta untuk mencapai kejayaan yang setanding dengan saintis-saintis dari universiti terkemuka dunia,” katanya.

UKM Global Talk Series bakal diteruskan pada tahun 2027 bagi memperluas perkongsian kepakaran dan peluang kerjasama penyelidikan antarabangsa. Kesinambungan program ini diharapkan dapat menyokong pembangunan penyelidik dan mengukuhkan jaringan akademik UKM di peringkat global.

Leave a Reply