Oleh Phoon Li Juan @ Roovasini
Foto UKM Global
BANGI, 22 Januari 2025 – Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) telah menganjurkan Sesi Townhall Pemerkasaan Agenda Pengantarabangsaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tahun 2025.
Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Akmal Sabarudin berkata tujuan utama Sesi Townhall ini diadakan adalah bagi membincangkan peranan serta fungsi Penyelaras Antarabangsa di setiap PTj di UKM dalam pelaksanaan strategi pengantarabangsaan di peringkat universiti.
“Sokongan dan sumbangan Penyelaras Antarabangsa memainkan peranan penting dalam mendokong hasrat UKM untuk menjadi pusat ilmu terpilih dan bertaraf dunia. Justeru, UKM Global terus mengorak langkah dalam memperkasa peranan Penyelaras Antarabangsa UKM melalui pelbagai bengkel dan program yang efektif,” katanya.
Program ini telah turut memfokus kepada hala tuju pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi yang telah disentuh dalam Perutusan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada awal tahun ini.
Antaranya adalah berkenaan pembangunan Program Pelancongan Pendidikan (Edutourism), Pendidikan Rentas Sempadan (Transnational Education – TNE) serta Malaysia sebagai Hub Pendidikan Tinggi Asean untuk penyelidikan.
Tambah Prof. Madya Dr. Akmal, UKM Global telah menyediakan satu rangka kerja yang jelas bagi tahun 2025 untuk terus bergerak sama dengan usaha dan komitmen universiti dalam pelaksanaan agenda pengantarabangsaan.
Susulan daripada Sesi Townhall ini, UKM Global mempunyai perancangan untuk mengadakan beberapa siri bengkel pemerkasaan Penyelaras Antarabangsa sepanjang tahun 2025 bagi membawa pembaharuan dalam perancangan strategik serta pelaksanaan aktiviti pengantarabangsaan UKM yang berimpak tinggi.