UKM Hidupkan Kembali Majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim & Izwan Azman

BANGI, 20 Oktober 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia menghidupkan kembali Majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan apabila mengadakan majlis tersebut secara gilang gemilang bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang staf dalam penilaian prestasi tahun 2021 dan juga menghargai kesetiaan dan komitmen staf yang telah lama berkhidmat di UKM.

Majlis penghargaan ini juga sebagai tanda penghargaan universiti kepada warga yang mencapai prestasi cemerlang dan setia berkhidmat dengan UKM.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata beliau gembira kerana sejak sekian lama majlis itu hanya dianjurkan pada peringkat Pusat Tanggungjawab, kini Pejabat Pendaftar UKM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan semula Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang UKM.

“Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada 486 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 141 penerima anugerah perkhidmatan 20 tahun, 36 penerima anugerah perkhidmatan 30 tahun, dan 23 penerima anugerah perkhidmatan 40 tahun.   

“Sesungguhnya kalian adalah tulang belakang yang menjadi teras kepada kejayaan universiti ini dalam menjayakan agenda meletakkan UKM pada kedudukan 129 terbaik dunia dan 33 terbaik Asia.

“Saya yakin dan percaya tanpa dokongan dan sumbangan warga UKM, universiti ini tidak akan berada pada kedudukannya seperti hari ini. Terima kasih warga UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan Tahun 2022 UKM, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Ts. Kamel Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pendaftar UKM, Dato’ Dr. Syed Kamarudin Sadak dan pengurusan tertinggi UKM.

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata UKM berbangga dengan pencapaian warga universiti watan itu yang terus menyerlahkan obor kecemerlangan dan mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

“UKM turut menyokong penglibatan kakitangan akademik, pengurusan dan profesional serta kakitangan pelaksana dalam memperkasakan peranan masing-masing.

“Sebagai menghargai sumbangan warga pelaksana, UKM telah memberikan peruntukan khusus bagi agenda pemerkasaan warga pelaksana melalui penganjuran Cabaran Inovasi UKM 2022,” katanya.

Beliau berharap anugerah tersebut menjadi perangsang kepada setiap warga UKM untuk menjadi lebih hebat dan cemerlang.

“Sebagai warga kepada sebuah universiti watan, hayatilah perjuangan untuk membangunkan UKM sebagai sebuah universiti terkehadapan yang mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi kemajuan negara. 

“Semoga anugerah yang diadakan pada hari ini dan anugerah-anugerah lain yang dianjurkan dapat menjadi manifestasi universiti dalam mengiktiraf kejayaan dan sumbangan warga UKM.

Leave a Reply