Oleh Dr. Syaima’ Adznan
BANGI, 8 MEI 2026 – Seramai tiga orang pelajar dan dua orang pensyarah dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) telah mengadakan lawatan pendidikan ke Hilti Asia IT services Sdn Bhd melalui kursus Global Business Services (GBS).
Program ini merupakan platform utama bagi mahasiswa mendalami ekosistem industri melalui penyelesaian kajian kes sebenar yang diberikan oleh pihak industri.
Selain membentangkan solusi inovatif bagi kes tersebut, pelajar turut mendapat pendedahan realistik mengenai proses perakaunan Procure-to-Pay (P2P) secara menyeluruh.
Menerusi sesi interaktif yang dijalankan, para pelajar berpeluang bergerak dari satu unit ke unit yang lain untuk merasai sendiri pengalaman praktikal proses P2P dari hujung ke hujung (end-to-end).
Pelajar FEP, Nor Amalia Rafie berkata, pengalaman hands-on tersebut membantu beliau memahami dengan lebih jelas aliran kerja kewangan yang tidak dapat dipelajari sepenuhnya di dalam dewan kuliah.
“Melalui sesi floor walk, kami berpeluang melihat sendiri proses kerja di bahagian Vendor Master, Travel & Expenses dan Invoice Processing yang turut melibatkan pengurusan invois bagi ibu pejabat Hilti di Liechtenstein, German.
“Kami juga menerima pelbagai perkongsian dan nasihat berguna daripada alumni UKM yang sedang bekerja di sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perkongsian Perkhidmatan Serantau Hilti, Chong Hon Keun berkata: “Inisiatif ini merupakan pendedahan yang sangat bernilai kepada pelajar untuk memahami realiti pengurusan perniagaan global yang dinamik”.
Beliau turut memuji komitmen para pelajar dalam membentangkan cadangan penyelesaian yang praktikal untuk sektor GBS.

