UKM lancar Pelan Kelestarian 2030, wujudkan kampus hijau, lestari dan sejahtera

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Mac 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Pelan Kelestarian UKM 2030 bagi mewujudkan kampus yang hijau, lestari dan sejahtera.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata Pelan Kelestarian itu akan menyaksikan komitmen UKM kepada program penjimatan tenaga, penerokaan kepada tenaga terbaharu, pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap dan mencipta dasar yang mendokong usaha sejagat mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Kita (UKM) mahu bergerak seiring dengan agensi dan industri. Untuk itu, sasaran kemaraan UKM 2023 ini akan berteraskan tiga aspek yang dikenali sebagai ESG iaitu environment (alam sekitar), sosial dan government (tata kelola).

“Berdasarkan ESG inilah kita lancarkan Pelan Kelestarian UKM 2030 hari ini. Melalui pelan ini, UKM telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti penjimatan tenaga di bawah inisiatif sustainable energy,” katanya.

“Bagi Kampus UKM di Bangi, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi telah melancarkan Projek Perkhidmatan Solar UKM Kampus Bangi dengan nilai RM24 juta.

“Pemasangan panel solar itu melibatkan 50 bumbung bangunan di UKM. Projek ini dijangka memberi impak penjimatan 16 peratus (%) daripada kos keseluruhan yang terpaksa kita belanjakan, dan insya-Allah kita akan kembangkan untuk fasa dua dengan melibatkan beberapa lagi bangunan di kampus Kuala Lumpur, dan dua hospital di Cheras,” katanya.

Katanya, UKM sangat komitmen terhadap kelestarian dan alam sekitar, tidak hanya untuk kampusnya, tetapi merentasi masyarakat.

“Kepakaran yang kita ada sangat membantu dari segi menjayakan agenda negara terutamanya daripada aspek kemampanan dan kesejahteraan,” katanya. 

Selain itu, tambah beliau, UKM akan memberi fokus kepada pengagihan bajet, pergiatkan aktiviti penjanaan, penjimatan dan intensif.

“Fokus utama adalah dalam One-Line Budgeting (OLB) yang tertumpu kepada funding mechanism. Sebanyak 26 Pusat Tanggungjawab telah mula melaksanakan bajet berasaskan OLB. Jadi, kita akan perluas dan perkasakan lagi program ini.

“Semua ini kita lakukan adalah untuk meningkatkan penjanaan UKM. Ketika ODL masih belum dilaksanakan secara menyeluruh pun kita dapat menjana sebanyak RM534 juta, jadi untuk tahun ini kita sasarkan kepada RM610 juta,” katanya.

Selain proses penjanaan, katanya, UKM juga mengambil inisiatif penjimatan iaitu pada tahun 2022, universiti ini telah berjaya menjimatkan sebanyak RM24 juta kos utiliti dan sewaan.

“Kita perlu juga memastikan kos bagi setiap projek pembangunan adalah sesuai bagi mengelakkan pembaziran.

“Oleh itu, sebuah Unit Kos akan diwujudkan oleh Jabatan Bendahari untuk menambahbaik dan membantu penyediaan belanjawan dan anggaran harga sesuatu perolehan kerja dan penyelenggaran,” katanya.

Selaras dengan itu, beliau berkata untuk memantapkan lagi tata kelola dan penyelarasan projek pembangunan menggunakan dana kerajaan dan penyelenggaraan di UKM, satu jawatan pentadbiran baharu iaitu jawatan Pro Naib Canselor Pembangunan akan diwujudkan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Perdana Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia 2023 yang bertemakan “Naratif Baharu UKM, Universiti Watan Kita: Pencapaian, Keberhasilan dan Kemaraan”, di sini, hari ini.

Dalam bicara tersebut, beliau turut  mengupas strategi kemaraan serta hala tuju UKM untuk tahun ini, di samping membentangkan pencapaian dan keberhasilan pada tahun lepas dalam memacu agenda universiti untuk menjadi sebuah universiti yang cemerlang. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman turut melancarkan Koperasi Alumni UKM dan Video Korporat UKM yang baharu.

Leave a Reply