UKM Lancar Pelan Strategik Digital 2026–2030

BANGI, 12 Oktober 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Pelan Strategik Digital (PSD) UKM 2026–2030, Wadah Digital dan Gerbang Perkhidmatan Digital bagi memacu transformasi digital universiti ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mampan.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, sempena Minggu Digital UKM 2026 bertemakan ‘Anjakan Jiwa dan Minda Digital’.

Menurut Pengarah Pusat Teknologi Digital (DigitalUKM), Prof Dr Mohamad Hanif Md Saad, PSD UKM 2026–2030 menjadi panduan utama hala tuju digital universiti bagi tempoh lima tahun dalam memacu era baharu transformasi digital yang lebih selamat, cekap dan terhadapan.

“Pelan ini memperkukuh peranan Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam memodenkan penyampaian perkhidmatan yang mampan, inklusif dan berintegriti demi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

“Langkah ini penting bagi memastikan ekosistem digital UKM kekal tangkas, selamat dan sentiasa bersedia mendepani cabaran arus pemodenan,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan PSD ini merupakan manifestasi komitmen UKM dalam menyahut seruan transformasi digital nasional melalui pendekatan yang sistematik dan holistik.

“Pelan ini turut dijajarkan secara strategik dengan Rancangan Pendigitalan Sektor Awam (RPSA) 2026- 2030 serta Pelan Tindakan Pendigitalan Pendidikan Tinggi 2025-2030, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Dokumen komprehensif ini dijayakan menerusi komitmen dan kolaborasi kolektif warga UKM, sekali gus melahirkan satu rujukan utama yang proaktif serta berpaksikan masa hadapan,” katanya.

Minggu Digital UKM 2026 juga menyaksikan penyerahan Buku Pelan Strategik Digital UKM 2026–2030 kepada Dato’ Naib Canselor, serta sesi penghargaan kepada peserta yang menamatkan latihan CCOE Baseline Certification dan Chief Information Security Officer (CISO) di bawah kerjasama UKM dan BlackBerry.

Leave a Reply