Oleh Zainal Asnawi Asyraf
CHERAS, 30 Oktober 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi institusi pendidikan pelopor di Malaysia yang mengguna kaedah pembedahan trauma maksilofasial secara navigasi elektromagnetik (EM) bagi merawat tulang orbit serta membetulkan posisi tulang zygoma (tulang pipi) yang patah.
Teknologi ini juga berpotensi dikembangkan untuk keperluan pembedahan major maksilofasial yang lain.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pergigian merangkap Pakar Perunding Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Mohd Nazimi Abd Jabar berkata teknologi EM itu berbeza daripada teknik pembedahan navigasi berasaskan optikal yang sebelum ini digunakan secara meluas di UKM.
Menurut beliau, teknologi itu juga bertujuan memastikan kejituan atau ketepatan pelaksanaan pembedahan dengan tetapan pra-pembedahan yang lebih ringkas dan pantas.
“Begitu juga translasi ketepatan maklumat semasa pembedahan adalah setara sepertimana yang digunakan melalui kaedah navigasi konvensional secara optikal.
“Kaedah ini tidak menggunakan tatasusunan penerima navigasi di atas tulang (skull base array), sebaliknya ia menggunakan pemancar elektromagnetik khusus yang dipasangkan berhampiran pesakit bagi menyokong penggunaan alat pengesanan (tracking tool) berserta sensor rujukan (reference sensor) dan perletakan sistem elektronik pengesanan (tracking electronics) pada pesakit.
“Pembedahan ini mempunyai asas yang sama dengan navigasi pembedahan secara optikal dan memberikan ketepatan pembedahan yang sangat baik serta dapat mengoptimumkan masa pembedahan, di samping mengurangkan risiko komplikasi pembedahan walaupun berlaku sedikit peningkatan kos berbanding teknik konvensional,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan teknologi EM merupakan langkah wajar bagi Jabatan OMFS dalam meningkatkan keupayaan pakar bedah mulut dan maksilofasial melaksanakan pembedahan kompleks dengan lebih efisien kerana ia membantu mengoptimumkan pembedahan serta pengendalian kes-kes maksilofasial yang kompleks.
“Melalui bantuan alat navigasi pembedahan, sebarang keputusan kritikal semasa pembedahan dapat dilakukan dengan pantas,” jelasnya.
Prof Dr Nazimi turut memaklumkan bahawa meskipun pasukan pakar UKM baru melaksanakan empat prosedur pembedahan menggunakan kaedah navigasi elektromagnetik setakat ini, kadar kejayaan rawatan yang dicapai adalah amat memberangsangkan.
Pakar lain yang turut terlibat dalam proses keseluruhan pembedahan ini termasuklah Prof. Dr. Roszalina Ramli, Prof. Madya Dr. Syed Nabil, Dr. Soh Hui Yuh dan Dr. Benjie Law.
Penggunaan teknologi inovatif ini turut dapat dimanfaatkan juga oleh pesakit trauma maksilofasial hasil perolehan peralatan pembedahan guna sama dewan bedah utama HCTM yang diguna pakai secara rutin oleh pakar daripada bidang pembedahan tulang belakang (spinal surgery) dan pembedahan neuro.
Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Fakulti Pergigian dan HCTM dalam memperkasa kecemerlangan bidang perubatan melalui penerokaan teknologi pembedahan inovatif, kepakaran multidisiplin dan penyelidikan berimpak tinggi.


