Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 11 Februari 2026 – Seramai 245 graduan kumpulan kedua Sijil Profesional Pengurusan Peruncitan bersama 99 Speed Mart yang terdiri daripada Pengurus Cawangan (Branches Manager) diarikan dalam majlis graduasi yang diadakan di Bangi Resort Hotel, hari ini.
Program sijil profesional yang diuruskan oleh UKM Pakarunding Sdn. Bhd., bersama tenaga pakar Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) ini merupakan inisiatif strategik bagi menyokong hasrat 99 Speed Martdalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja sektor peruncitan.
Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), yang bertujuan memperkasa modal insan untuk memenuhi keperluan industri yang kian mencabar.
Sejak diperkenalkan, program yang dilaksanakan secara berterusan ini telah berjaya mencapai sehingga kumpulan keempat, sekali gus mencerminkan penerimaan positif serta kepercayaan berterusan industri terhadap kualiti program ini.
Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan dalam ucapannya berkata program itu bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan modal insan unggul, malah menjadi platform untuk menarik lebih ramai tenaga kerja sektor peruncitan menyertai inisiatif berimpak tinggi ini.
“Sijil profesional ini menawarkan nilai tambah yang signifikan kepada kemahiran tenaga kerja negara, sejajar dengan keperluan meningkatkan daya saing organisasi dalam sektor peruncitan,” katanya.
Beliau berkataprogram sijil profesional itu menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademia dan industri, sekaligus mencerminkan komitmen untuk melahirkan bakat profesional berkualiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart Retail Holdings Berhad, Yong Eng Kwang berkata UKM berperanan sebagai rakan strategik yang amat signifikan, khususnya dalam membangunkan ekosistem pembelajaran peruncitan yang lebih tersusun, berstandard dan diiktiraf.
“Kepakaran UKM dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan kurikulum membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam merangka modul latihan, pensijilan profesional serta program peningkatan kemahiran yang selari dengan keperluan industri peruncitan masa kini,” katanya yang turut memberitahu seramai 715 orang pekerja 99 Speed Mart telah berjaya mengikuti dan menamatkan program tersebut.
Seramai 21 peserta telah berjaya dilatih dalam kumpulan rintis yang terdiri daripada pengurus Branches Operation Department (BOD), manakala kumpulan pertama program ini berjaya melahirkan seramai 99 orang graduan yang terdiri daripada Pengurus Cawangan (Area Manager).
Pada masa yang sama, seramai 350 Pengurus Cawangan sedang mengikuti latihan dalam kumpulan ketiga dan keempat, dan seramai 175 Pengurus Cawangan lagi dijadualkan memulakan pengajian dalam Kumpulan Kelima pada Mac 2026.
Program Sijil Profesional ini dirangka untuk melengkapkan peserta dengan gabungan pengetahuan teoretikal dan praktikal bagi meningkatkan kecekapan dalam menguruskan organisasi runcit dengan lebih berkesan.
Program ini merangkumi tujuh modul utama yang dibangunkan secara khusus oleh tenaga pengajar FEP iaitu Pengurusan Peruncitan, Pengurusan Operasi Peruncitan, Kelakuan Organisasi Peruncitan, Pengurusan Sumber Manusia Peruncitan, Perakaunan dan Kawalan Dalaman Peruncitan, Kelakuan Pengguna Runcit serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Peruncitan.
Pengisian modul-modul ini dirancang secara teliti bagi memenuhi keperluan khusus 99 Speed Mart, selaras dengan tuntutan industri peruncitan yang semakin dinamik dan kompetitif.

