UKM, Salam EduMed Sdn. Bhd. Jalin Kerjasama Komersialkan Teknik CPR 5T

Oleh Murni Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Mac 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Salam EduMed Sdn. Bhd. memeterai kerjasama strategik bagi mengkomersialkan Teknik 5T CPR dalam usaha memperkasa kemahiran sokongan hayat asas dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR).

Teknik 5T CPR yang merangkumi lima langkah utama iaitu Tengok, Tegur, Teriak atau Telefon, Teliti, dan Tekan, adalah sebahagian daripada Modul Fit-CPR yang dibangunkan dalam bahasa kebangsaan bagi memudahkan pemahaman orang awam.

Modul ini merupakan hasil penyelidikan pasukan dari Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan UKM yang diketuai oleh Prof. Dr. Ismail Mohd Saiboon.

Menurut Prof. Dr. Ismail, sasaran utama modul ini bukanlah pengamal perubatan, tetapi orang awam, kerana tujuannya adalah memastikan sekurang-kurangnya seorang ahli dalam setiap rumah mengetahui cara melakukan CPR.

“Lima langkah tersebut bermula dengan ‘tengok’ dimana kita perlu melihat keadaan mangsa terlebih dahulu. Seterusnya, kita perlu ‘tegur’ untuk memastikan keadaannya.

“Jika tiada respon, langkah seterusnya adalah meminta ‘tolong’. Kita boleh menjerit meminta bantuan daripada orang sekeliling atau jika tiada orang berdekatan, kita perlu ‘telefon’ pihak kecemasan.

“Kemudian, kita perlu ‘teliti’ keadaan mangsa dengan memeriksa pernafasan mereka, sama ada mereka masih bernafas atau tidak.

“Dalam teknik ini, kita tidak memberi tumpuan kepada denyutan nadi kerana kajian telah menunjukkan bahawa dalam situasi kecemasan, ramai yang sukar membezakan antara denyutan nadi mereka sendiri dengan nadi mangsa.

“Oleh itu, kita hanya perlu memberi fokus kepada pernafasan sahaja. Jika mangsa tidak bernafas, kita perlu mula melakukan ‘tekan’,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Datin Dr. Marina Mat Baki berharap agar kerjasama antara sektor awam dan swasta (Public-Private Partnership) bersama Salam EduMed Sdn. Bhd. ini dapat menyampaikan maklumat secara meluas kerana CPR merupakan langkah awal yang penting dalam menyelamatkan nyawa.

“Penyakit jantung sangat kerap berlaku di Malaysia, terutama sekali dengan kadar pesakit diabetes dan obesiti yang tinggi. Sekiranya seseorang mengalami serangan jantung di mana-mana tempat, keberadaan individu yang tahu melakukan CPR boleh membantu menyelamatkan nyawa mangsa sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.

“CPR merupakan kemahiran yang sangat berharga serta satu teknik yang boleh dipelajari oleh semua orang.

“Sekiranya tiada siapa yang melakukan CPR pada peringkat awal pada waktu kecemasan, peluang untuk menyelamatkan mangsa akan menjadi lebih tipis,” katanya.

Melalui kerjasamaini, pihak Salam EduMed Sdn. Bhd. secara rasmi memperoleh hak perlesenan daripada UKM bagi teknik 5T dan Modul Fit- CPR dengan nilai RM10,000.

Teknik ini telah diajarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti kurang upaya pendengaran di Malaysia serta diperluaskan ke Aceh, Indonesia, sejak diperkenalkan pada tahun 2017 menerusi acara FIT CPR FUN RUN.

Leave a Reply