UKM sasar lebih ramai graduan raih gaji RM4,000 ke atas

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 9 Jun 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkasa agenda kebolehpasaran graduan dengan menyasarkan lebih ramai graduan memperoleh gaji premium melebihi RM4,000 sebulan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata isu gaji graduan merupakan perkara yang perlu kita tangani secara serius memandangkan ia sering menjadi perbincangan utama di media masa kini.

“Kita perlu sedar akan realiti pendapatan gaji sebenar boleh merosot jika tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup semasa.

“Oleh itu, di peringkat universiti, kita komited untuk terus memantapkan kurikulum mengikut keperluan industri dan menyediakan sijil-sijil profesional tambahanbagi memberi nilai tambah yang signifikan kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan UKM bagi tahun 2025 adalah sebanyak 94.8 peratus, sekaligus membuktikan graduan UKM kekal kompetitif di pasaran kerja.

Tambah beliau, persaingan mendapatkan pekerjaan pada masa kini semakin mencabar berikutan pertambahan graduan dan perkembangan pesat teknologi yang mengubah keperluan pasaran kerja.

“Pihak majikan perlu memainkan peranan dengan menawarkan gaji yang setimpal demi mengelakkan isu Brain Drain atau perpindahan bakat-bakat terbaik negara ke luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Kerjaya UKM 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Karier (UKM-KARIER) dengan kerjasama Kelab Urusetia Kerjaya dan Talentbank.

Hari Kerjaya ini menampilkan 48 reruai yang menjadi platform menghubungkan universiti dengan industri serta membuka peluang kerjaya kepada pelajar dan graduan.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan Program MySISWA Job on Campus @ UKM. Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam persekitaran universiti.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Program Most Employable Graduate (MEG) kepada para pemenang.

Dalam majlis yang sama, UKM menerima Talentbank Graduate Employability Awards 2026 yang disampaikan oleh Talentbank.

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan berterusan UKM dalam melahirkan graduan yang diyakini industri serta menjadi pilihan majikan di Malaysia.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Sdn. Bhd. Ben Ho dan Pengarah UKM-KARIER, Prof. Madya Dr. Salleh Amat.

Leave a Reply