UKM Terajui Kajian Meaningful Connectivity, Memahami Pengalaman Sebenar Rakyat Malaysia dalam Capaian Digital

Oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

BANGI, 19 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerajui satu kajian nasional bertajuk “Redefining Connectivity: Measuring Meaningful Connectivity in Malaysia”, yang menumpu kepada usaha menyeluruh untuk memahami pengalaman sebenar rakyat Malaysia dalam mengakses, menggunakan, dan mendapat manfaat daripada capaian digital.

Kajian yang diketuai oleh Dr. Masrina Nadia Mohd Salleh turut mendapat pandangan daripada pemegang taruh utama seperti kerajaan dan agensi kerajaan (dari sudut regulatory), serta industri termasuk syarikat teknologi dan syarikat telekomunikasi (dari sudut operational).

Menurut Dr. Masrina Nadia, pendekatan itu bagi memastikan dapatan kajian bukan sahaja mencerminkan realiti rakyat, tetapi juga mengambil kira perspektif dasar, pelaksanaan, dan keupayaan industri dalam membentuk ekosistem kesalinghubungan digital yang lebih inklusif dan mampan.

“Pendekatan inklusif ini melibatkan sesi libat sama dengan lima kumpulan pengguna utama, iaitu komuniti orang kurang upaya (OKU), belia, wanita, warga emas dan Orang Asli.

“Dengan kerjasama dan sokongan Unit Perkhidmatan Sokongan OKU di UKM dan Universiri Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan  Jabatan Kemajuan Orang Asli, kumpulan penyelidik dapat mengumpul data bagi memastikan suara dan pengalaman semua segmen masyarakat didengari serta dianalisis secara sistematik melalui kaedah kualitatif (temu bual) dan kuantitatif (soal selidik),” katanya.

Selain itu, beliau berkata kajian itu turut menggunakan panduan daripada International Telecommunication Union (ITU) dalam merangka kerangka kajian, agar selaras dengan standard global telekomunikasi dan prinsip inklusiviti digital.

“Penyelidikan ini sedang berjalan dan sesi libat sama di pelbagai lokasi telah menunjukkan bahawa tahap meaningful connectivity berbeza mengikut kumpulan pengguna,” ujarnya.

Dengan mendengar secara langsung keperluan dan cabaran masyarakat, Dr Masrina Nadia berkata kajian itu bukan sahaja memperkukuh data nasional, malah meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan kesalinghubungan digital yang lebih adil dan inklusif.

“Penyelidikan ini dijangka memberi impak besar kepada pembentukan dasar negara dalam bidang pendigitalan, keterangkuman digital, dan kesejahteraan digital rakyat.

“Melalui pembiayaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan sokongan pelbagai pihak, projek ini menjadi platform penting untuk memahami realiti rakyat dan memastikan pembangunan digital Malaysia benar-benar berasaskan keperluan komuniti,” katanya.

Kajian dijalankan bersama-sama dengan penyelidik-penyelidik dari beberapa universiti.

Leave a Reply