Oleh Mohamad Khairul Azril Omar
Foto UKMShape
BANGI, 4 Jun 2025 – Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia meraikan pelajar dari Borneo dengan mengadakan Majlis Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai UKMShape 2025, di Ballroom UKMShape, baru-baru ini.
Majlis itu diadakan bagi meraikan dan menghargai kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, khususnya kepada pelajar-pelajar Sabah dan Sarawak yang menyambut dua perayaan penting setiap tahun iaitu Pesta Kaamatan pada 30 dan 31 Mei serta Hari Gawai Dayak pada 1 dan 2 Jun.
Suasana menjadi lebih meriah dengan semangat kebudayaan apabila tetamu yang hadir mengenakan pakaian tradisional budaya masing-masing, diiringi persembahan tarian etnik oleh pelajar-pelajar dari persatuan Sabah dan Sarawak.
Timbalan Pengarah UKMShape, Prof. Madya Dr. Azahan Awang dalam ucapannya berkata penganjuran majlis yang julung kali diadakan oleh UKMShape itu diharap dapat mengumpul lebih ramai pelajar dari Borneo pada sambutan tahun-tahun akan datang.
Beliau berkata penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen UKMShape dalam mendukung nilai kepelbagaian, inklusiviti dan perpaduan, selari dengan aspirasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang meraikan keunikan budaya seluruh warganya.
“Bagi UKMShape, memahami dan menghargai perayaan seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bukan sahaja soal kesedaran budaya, malah merupakan satu langkah penting dalam mengenali susur galur dan jati diri kita sebagai satu bangsa yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya.
Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai Pesta Menuai, disambut oleh masyarakat Kadazandusun di Sabah sebagai simbol kesyukuran terhadap hasil tuaian dan kehidupan yang sejahtera.
Manakala Hari Gawai Dayak pula diraikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak bagi menandakan berakhirnya musim menuai dan permulaan tahun baru yang lebih baik.
Prof. Madya Dr. Azahan berkata melalui penganjuran majlis seumpama ini, ia diharap dapat memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus serta membina jalinan keharmonian merentasi latar belakang budaya, kaum dan agama, demi Malaysia yang lebih bersatu dan progresif.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pro Naib Canselor (Penjanaan & Prasarana), Prof. Sr. Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani.
