UKMShape Strategic Business Partners’ Engagement Buka Peluang Kerjasama Strategik

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Ogos 2023 –Program UKMShape Strategic Business Partners’ Engagement yang diadakan baru-baru ini telah membuka peluang kerjasama strategik antara UKM dengan rakan industri terutamanya dalam meningkatkan kemasukan pelajar baharu ke UKM.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata kerjasama strategik itu bukan sahaja telah berjaya merekrut para pelajar, malah membawa cadangan kerjasama serta pelbagai bentuk inisiatif lain kepada UKM.

“Saya difahamkan antara bentuk kerjasama yang pernah dilaksanakan adalah seperti kerjasama penyelidikan, strategi pemasaran, pertukaran pelajar antarabangsa, program akademik berbentuk dwi ijazah, ijazah bersama dan sebagainya.

“Oleh itu, dengan mempertemukan rakan strategik dengan pihak fakulti, institut dan pusat-pusat UKM selama dua hari program ini berlangsung, saya percaya ia bakal membuka peluang kepada lebih banyak bidang kerjasama yang baharu. Ini adalah usaha yang sangat baik, syabas kepada semua,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam UKMShape Strategic Business Partners’ Engagement Appreciation Night 2023, anjuran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape), di sini, baru-baru ini.

Katanya, beliau yakin bahawa setiap fakulti, institut, dan pusat di UKM adalah peneraju pendidikan, dalam membangunkan ilmu yang membentuk masa hadapan.

“Komitmen anda terhadap inovasi, penyelidikan, dan kecemerlangan akademik telah menjadi penting dalam memupuk persekitaran intelektual.

“Kepemimpinan anda telah memperkasakan pelajar untuk meneroka potensi diri, membentuk peribadi mereka dan seterusnya menjadi pemimpin dan pembawa perubahan masa hadapan,” katanya.

Selain itu, tambah beliau rakan perniagaan strategik UKM telah memainkan peranan besar dalam merapatkan jurang di antara cita-cita dan realiti.

“Anda telah membantu menghubungkan minda-minda yang berbakat dan mempunyai impian yang tinggi, dari seluruh pelusuk dunia dan membawa mereka kepada peluang pendidikan yang ditawarkan oleh UKM.

“Usaha dan semangat anda telah menyumbang kepada kepelbagaian budaya dan kecemerlangan akademik yang menggambarkan UKM pada hari ini,” ujar beliau.

Melalui sudut pandang Kementerian Pendidikan Tinggi, beliau sendiri telah menyaksikan bagaimana UKM menunjukkan komitmen yang padu, berterusan dan berjaya membentuk jaringan yang meningkatkan jangkauan dan impak UKM.

“Dedikasi anda terhadap kerjasama, pembangunan serta keterangkuman ini telah membolehkan UKM berkembang di peringkat global,” tambah beliau.

Majlis makan malam itu diadakan bagi menghargai rakan kerjasama strategik yang bukan sahaja telah berjaya merekrut para pelajar, malah membawa cadangan kerjasama serta pelbagai bentuk inisiatif lain kepada UKM. Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor, Prof. Gs. Ts. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.

Leave a Reply