Fakulti Ekonomi & Pengurusan

KURSI DAN ENDOWMEN

LATAR BELAKANG

Kerjasama strategik antara universiti dan industri telah lama berkembang pesat di negara maju dan kini menunjukkan peningkatan yang ketara di negara membangun. Hubungan kerjasama ini memberikan pelbagai manfaat, antaranya mempercepat aliran pengetahuan dan proses pembelajaran antara pihak berkepentingan. Selain itu, kerjasama ini turut membuka peluang kepada pembiayaan penyelidikan baharu, menggalakkan penyelidikan berorientasikan tindakan (action research), serta merangsang inovasi dan pembangunan idea baharu dalam bidang penyelidikan.

Di Malaysia, keperluan untuk meningkatkan tahap kerjasama antara universiti dan industri telah digariskan secara jelas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025. Pelan ini menekankan pelaksanaan usaha kolaboratif dalam pelbagai program seperti perantisan, latihan praktikal, simulasi dunia sebenar, penyelidikan dan latihan. Industri minyak sawit Malaysia telah melalui perkembangan yang pesat sepanjang lebih 100 tahun lalu. Sebagai antara pengeluar dan pengeksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit terbesar dunia, industri ini telah mencatat kemajuan yang memberangsangkan merangkumi keseluruhan rantaian nilai. Kejayaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha penyelidikan yang berterusan dan menyeluruh.

Penubuhan Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada tahun 1970, yang kini dikenali sebagai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), telah memainkan peranan strategik dalam memacu kejayaan industri sawit melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Salah satu pendekatan R&D yang berkesan ialah pemindahan ilmu melalui kerjasama pintar antara universiti dan industri. Usaha ini telah dimantapkan melalui penubuhan Kursi Endowmen MPOB-UKM dalam Bidang Sawit, yang telah dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai 2012 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia. Misi Kursi Endowmen MPOB-UKM adalah untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi industri sawit yang mampan melalui penyelidikan, kerjasama dan perkongsian strategik, pembangunan modal insan serta penyebaran maklumat.

OBJEKTIF

  1. Membangunkan peranan kepimpinan penyelidikan dalam memajukan industri minyak sawit ke arah pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
  2. Memupuk kerjasama dan perkongsian awam-swasta dalam penjanaan pendapatan serta peningkatan kesejahteraan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
  3. Meningkatkan kapasiti dan profil Malaysia sebagai model ekonomi dengan industri minyak sawit yang mampan.

LATAR BELAKANG

Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) ditubuhkan pada 10 Oktober 1999 untuk memperingati sumbangan dan dedikasi Tun Ismail Mohamed Ali kepada PNB sebagai Pengerusi PNB yang pertama. YTI ditubuhkan dengan tujuan untuk menerima dan mentadbir dana untuk pendidikan melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang yang mempunyai tempat di universiti berprestij di luar negara. Di samping itu, YTI telah menubuhkan Kursi Professorial atas nama Tun Ismail Mohamed Ali di universiti-universiti tempatan seperti yang ditentukan oleh Pemegang Amanah. Memorandum Perjanjian antara Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali Berdaftar dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah dibuat pada 18 Disember 2000. Penubuhan Kursi Cemerlang di UKM, bertujuan untuk memperkayakan harta penyelidikan dan penerbitan dalam bidang analisis pelaburan, Prestasi pelaburan, Pengurusan dana, Analisis demografi pelabur, Analisis perancangan kewangan dan pelaburan, yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan negara secara umum.

 

OBJEKTIF

  1. Analisis Pelaburan

  2. Prestasi Pelaburan

  3. Pengurusan Dana

  4. Analisis Demografi Pelabur

  5. Analisis Perancangan Kewangan dan Pelaburan

 

LATAR BELAKANG 

Dana Endowmen merupakan satu instrumen kewangan strategik yang diwujudkan bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan pembiayaan jangka panjang sesuatu organisasi. Dana ini berfungsi sebagai tabung amanah di mana sumbangan yang diterima sama ada daripada individu, korporat, atau institusi dilaburkan secara berhemah dan patuh syariah bagi menjana pulangan yang mampan.

Hasil daripada pelaburan tersebut kemudiannya disalurkan untuk menyokong pelbagai inisiatif bernilai tambah seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, penyelidikan, kebajikan sosial, serta program pemerkasaan komuniti. Pendekatan ini membolehkan organisasi mencapai impak yang lebih meluas, sambil mengekalkan integriti kewangan dan prinsip kelestarian jangka panjang.

Dana Endowmen Ekonomi Halal Merupakan salah satu dana endowmen yang tersenarai di bawah Yayasan Canselor UKM sebagai sebahagian daripada inisiatif kursi dan dana endowmen universiti untuk menyokong aktiviti akademik dan pembangunan ilmu UKM.

Penubuhan Dana Endowmen Ekonomi Halal yang berfokus kepada pemerkasaan aktiviti akademik, intelektual dan kemasyarakatan melalui penyediaan kerjasaam pembangunan kapasiti dan meliputi pengumpulan dana. Fokus utama penubuhan ini adalah untuk mewujudkan persekitaran yang menyediakan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan pembangunan ekonomi halal (ruang komersial) disamping menyediakan ruang latihan dan keusahawanan bagi pembangunan kapasiti warga FEP dan pelajar khususnya dalam Ekonomi Halal.

Dana Endowmen Ekonomi Halal berperanan sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem halal. Melalui pengurusan dana yang telus, strategik dan berasaskan nilai Islam, dana ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan sektor halal, malah memupuk budaya tanggungjawab sosial dan pembangunan berterusan sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.

 

OBJEKTIF

 
 

LATAR BELAKANG

Centre for Advancement of Social Business (CASB) ditubuhkan pada penghujung 2011 di bawah seliaan UKM–CESMED. Dengan objektif untuk membangunkan model perniagaan sosial di Malaysia, CASB telah merancang dan melaksanakan beberapa aktiviti berkaitan. Namun aktiviti tersebut tidak dapat mencapai pulangan yang optimum berikutan kekangan tertentu; antaranya (1) kurangnya sumber dalaman dari sudut kewangan dan modal insan; dan (2) kurangnya keterlibatan CASB secara langsung dengan pemegang taruh.

Menyedari potensi sebenar CASB, pihak pengurusan universiti merasakan keperluan untuk penambahbaikan di peringkat pengurusan dan pendekatan. Penjenamaan semula CASB kepada YCSB@UKM dibawah seliaan FEP diyakini boleh melonjakkan potensi sebenar model perniagaan sosial di Malaysia melalui dua tunjang utama: keterlibatan dan kolaborasi dengan pemegang taruh, dan komitmen modal insan dan penjawatan.

OBJEKTIF

Perancangan aktiviti utama dari YCSB@UKM bertujuan untuk meningkatkan profil pusat dan universiti. Malah tutur menjana keperluan kewangan pusat yang terdiri daripada empat kegiatan utama, antaranya;

  1. Membina dan menerapkan kesedaran berkaitan perniagaan sosial kepada komuniti menerusi program promosi, pendidikan, jerayawara (roadshow) dan jaringan.
  2. Program pembangunan dan latihan perniagaan sosial kepada komuniti.
  3. Penyelidikan yang meliputi kajian berkaitan pembangunan sosial melalui perniagaan, kajian keperluan komuniti dan kajian impak perniagaan sosial terhadap komuniti
  4. Program penjanaan kewangan dan pembangunan YCSB@UKM.

Pusat ini bertanggungjawab untuk mempromosikan dan menggalakkan perniagaan sosial di Malaysia. Ia juga akan menjadi badan yang memberikan khidmat bantuan kepakaran kepada mana-mana agensi kerajaan atau swasta serta individu yang berminat untuk menjalankan perniagaan sosial di Malaysia.

 

MPOB - UKM

MALAYSIA PALM OIL BOARD @ UKM

YTI- UKM

YAYASAN TUN ISMAIL ALI @ UKM

YCSB @ UKM

YUNUS CENTRE SOCIAL BUSINESS @ UKM

DEEH

DANA ENDOWMEN EKONOMI HALAL