Kenali Budaya FKAB Siri 7.0 : Walk-in Perlis

Kenali Budaya FKAB Siri 7.0: Walk-in Perlis, Kenali Utara 2026
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menganjurkan Program Kenali Budaya FKAB Siri 7.0: Walk-in Perlis, Kenali Utara yang berlangsung pada 9 hingga 11 Januari 2026 bertempat di Arau, Perlis. Program ini telah melibatkan seramai 24 orang pelajar FKAB UKM, termasuk pelajar pertukaran dari Universiti Duisburg-Essen (UDE), Jerman, diketuai oleh Dr. Norhidayah binti Mat Taib, Penyelaras UKM_UDE, dimana program ini merupakan platform interaksi silang budaya antara pelajar tempatan, antarabangsa dan masyarakat setempat.
Penganjuran siri ketujuh ini turut menandakan kesinambungan kerjasama strategik lebih 22 tahun antara UKM dan UDE, dengan objektif memperkukuh kefahaman budaya, adat resam serta kehidupan komuniti luar bandar, di samping mempromosikan potensi pelancongan tempatan negeri Perlis. Program selama tiga hari dua malam ini telah diadakan di Kampung Paya Guring, dengan kerjasama erat Kolej Matrikulasi Perlis (KMP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis, Homestay Kampung Paya Guring, dan Ahli Parlimen Arau. Pelbagai aktiviti budaya telah dijalankan termasuk permainan tradisional, anyaman kraftangan, demonstrasi penyediaan kuih-muih tradisional, aktiviti rewang dan Malam Kebudayaan yang meriah.
Pihak Urusetia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kehadiran Dekan FKAB, Prof. Dr. Zainuddin Sajuri, yang bukan sahaja menyempurnakan pengisian program, malah turut menyampaikan perkongsian inspirasi dan panduan kemasukan ke universiti kepada warga KMP. Jutaan terima kasih turut diberikan kepada Cik Najatul Muna Hamdan, Ketua Pentadbiran FKAB dan Encik Nuraidi atas kesudian hadir ke Program. Program ini turut dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring, serta persembahan kebudayaan termasuk Hadrah Negeri Perlis. Kemuncak program adalah Malam Perasmian dan Kebudayaan yang diadakan di Kolej Matrikulasi Perlis, yang telah menghimpunkan hampir 600 orang terdiri daripada pelajar, penduduk kampung dan wakil agensi, mencerminkan sokongan padu terhadap inisiatif ini. Para peserta juga berpeluang meneroka keunikan Perlis melalui lawatan ke proses pembuatan belacan tempatan, Kampung Wai, Kampung Pelangi dan Empangan Timah Tasoh. Program ini membuktikan komitmen berterusan FKAB dalam melahirkan pelajar berfikiran global yang menghargai nilai tempatan, serta memperkukuh hubungan dua hala UKM–UDE melalui pendekatan budaya, komuniti dan akademik.
Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kerjasama, pihak terlibat, masyarakat setempat serta para peserta yang menjayakan Program Kenali Budaya FKAB Siri 7.0.